Wartawan Jepun menang kes #MeToo

TOKYO, 18 DIS – Sebuah mahkamah Tokyo telah memberi ganti rugi sebanyak 3.3 juta yen (AS$30,000) kepada wartawan Shiori Ito, yang menuduh bekas pemberita televisyen merogolnya dalam kes paling berprofil tinggi pergerakan #MeToo di Jepun.

Kes sivil itu menjadi tajuk muka depan di Jepun dan luar negara oleh kerana jarang mangsa rogol melaporkan jenayah itu kepada polis, menurut tinjauan kerajaan 2017, hanya 4 peratus wanita tampil memberi keterangan.

Ito, 30, menjadi simbol kelantangan #MeToo di Jepun, di mana pergerakan menentang gangguan seksual dan penderaan sukar dilakukan.

Beliau memohon pampasan berjumlah 11 juta yen (AS$100,000) daripada Noriyuki Yamaguchi, bekas pemberita televisyen yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Shinzo Abe, didakwa merogolnya selepas menjemputnya makan malam bagi membincangkan peluang pekerjaan pada 2015.

Yamaguchi menafikan sebarang salah laku dan memfailkan tuntutan balas terhadap Ito, menuntut pampasan 130 juta yen.

“Kita menang. Tuntutan balas ditolak,” kata Ito di luar mahkamah, memegang sepanduk yang bertulis ‘kejayaan’. – AFP

Shiori Ito bercakap di luar mahkamah daerah Tokyo pada 18 Disember. – AFP