TOKYO, 25 Okt – Wartawan Jepun, Jumpei Yasuda, yang dibebaskan selepas diculik tiga tahun lalu, telah berlepas dari Istanbul pada Khamis dan dijadualkan tiba di Jepun pada hari yang sama, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan stesen penyiar awam NHK.
Yasuda, yang hilang di Syria lebih tiga tahun lalu, telah disahkan selamat oleh kerajaan Jepun pada Rabu.
“Saya gembira kerana saya boleh pulang ke Jepun. Pada masa sama, saya tidak tahu apa yang akan berlaku dari saat ini atau apa yang patut saya lakukan. Saya sedang fikirkan apa yang harus saya lakukan,” lelaki berusia 44 tahun itu dipetik sebagai berkata ketika berada dalam penerbangan dari selatan bandar Antakya di Turki ke Istanbul.
Dalam penerbangan yang sama, Yasuda memberitahu NHK bahawa beliau telah mengalami penderitaan secara mental dan fizikal ketika berada dalam tahanan.
Yasuda hilang selepas memasuki Syria tiga tahun lepas untuk membuat liputan mengenai perang saudara.
Beliau dikhuatiri telah ditawan oleh kumpulan militan di negara Timur Tengah.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga, pada lewat Selasa berkata kerajaan Qatar memaklumkan Jepun bahawa Yasuda sudah dibebaskan.
Jepun telah menjalin kerjasama dengan pelbagai negara dalam usaha membebaskan wartawan itu, termasuk Qatar dan Turki.
Pada Rabu, Suga menafikan bahawa Jepun berjaya membebaskan Yasuda selepas membayar wang tebusan.
Yasuda dipercayai telah ditawan dan dijadikan tebusan oleh sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda.
Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe turut berterima kasih kepada pemimpin Turki dan Qatar kerana membantu pembebasan Yasuda. – Bernama