TOKYO, 24 Okt – Kerajaan Jepun hari ini mengesahkan bahawa wartawan yang diculik di Syria lebih tiga tahun lalu telah dibebaskan dan kini berada di Turki.
“Kami telah mengesahkan mengenai keselamatan Jumpei Yasuda, yang telah diculik di Syria sejak 2015,” beritahu Menteri Luar Taro Kono kepada para wartawan.
“Beliau kelihatan dalam keadaan sihat, kami teruja beliau selamat.”
Para pegawai Jepun lewat kelmarin berkata mereka cuba untuk mengesahkan laporan bahawa wartawan bebas berusia 44 tahun telah dibebaskan.
Perdana Menteri Shinzo Abe memberitahu para wartawan bahawa beliau telah menghubungi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani untuk berterima kasih kepada mereka atas sokongan yang diberikan.

Pegawai-pegawai kedutaan telah melawat Yasuda di pusat imigresen di Antakya di Turki dan dijangka akan kembali ke Jepun dalam tempoh terdekat, selepas pemeriksaan kesihatan.
“Saya telah ditahan di Syria selama 40 bulan dan sekarang berada di Turki,” kata Yasuda semasa di pusat imigresen, yang telah disiarkan di NHK.
Isteri Yasuda, Myu turut hadir secara langsung di stesen TV swasta Asahi apabila Kono mengumumkan berita itu.
“Terima kasih.. Terima kasih kerana mendoakan dan mengambil tindakan,” katanya.
“Saya mahu melihat beliau dalam keadaan baik. Itu yang saya mahukan,” menurut bapa Yasuda.
Yasuda dikatakan telah diculik oleh kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai Al-Nusra, bekas gabungan Al-Qaeda, di utara Syria.
Bagaimanapun, Hayat Tahrir al-Sham, yang diketuai oleh bekas cawangan Al-Qaeda di Syria, menafikan terlibat dalam penculikan tersebut. – AFP