Wartawan lapor virus pertama di Wuhan, hampir mati mogok lapar

BEIJING, 5 NOV – Seorang wartawan yang dipenjarakan kerana liputannya mengenai tindak balas awal China terhadap COVID-19 di Wuhan, dilaporkan hampir mati selepas melakukan mogok lapar, kata keluarganya.

Susulan itu, kumpulan hak asasi mengulangi gesaan bagi pembebasan segera wartawan berkenaan.

Wartawan itu yang juga bekas peguam, Zhang Zhan, 38, mengembara ke Wuhan pada Februari 2020 untuk melaporkan kekacauan di pusat penularan wabak berkenaan, selain mempersoalkan pengendalian pihak berkuasa dalam video di telefon pintarnya.

Dia ditahan pada Mei 2020 dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada Disember kerana ‘memulakan pertengkaran dan mencetuskan provokasi’ iaitu tuduhan yang biasa digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat.

Dia mengalami kekurangan berat badan yang teruk dan ‘mungkin tidak boleh hidup lebih lama’, kata abangnya, Zhang Ju yang menulis di akaun Twitter minggu lalu dan ia disahkan oleh individu rapat dengan perkara itu.

Zhan telah melakukan mogok lapar dan diberi makan secara paksa melalui tiub hidung, kata pasukan peguamnya, yang tidak mempunyai maklumat mengenai keadaan semasanya, memberitahu AFP awal tahun ini. – AFP