Thursday, February 6, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wartawan Mexico maut dibelasah

    BANDARAYA MEXICO, 30 Mei – Seorang wartawan, Hector Gonzalez Antonio, ditemui maut akibat dibelasah di kaki lima sebatang jalan di bandar Ciudad Victoria, Mexico, menurut peguam negara Tamaulipas.

    Antonio menulis untuk media tempatan dan satu daripada akhbar nasional terbesar Mexico, El Excelsior.

    Peguam negara berkata pihak berkuasa telah ‘memulakan siasatan bagi mengenal pasti dan mengesan mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu’.

    Setakat ini tiada petunjuk dalam kes itu. Wakil Jawatankuasa bagi Melindungi Wartawan-Wartawan Mexico, Jan-Albert Hootsen, sebelum itu membuat tweet bahawa punca kematian yang tepat masih tidak jelas.

    Ini merupakan pembunuhan wartawan Mexico yang keenam pada tahun ini, dan ketiga dalam bulan Mei. Minggu lepas, seorang lagi wartawan, Alicia Diaz Gonzalez, telah dibunuh di negeri Nuevo Leon. Gonzalez menulis untuk El Financiero dan El Norte.

    Wartawan Juan Carlos Huerta pula ditembak mati di rumahnya di Tabasco pada 15 Mei, hanya setahun selepas Javier Valdez ditembak bertubi-tubi di sebatang jalan di Sinaloa.

    Valdez telah melaporkan tentang persaingan dalaman kartel dadah Sinaloa yang sangat berkuasa sebelum beliau maut ditembak. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda