Warung bertemakan warisan Melayu lama

PARIT – Bagaikan berada di zaman Melayu lama, begitulah perasaan sebaik melangkah masuk ke warung Qawwam Sri Bota yang terletak di Kampung Seri Kaya, Bota Kiri.

Setiap pekerja di kedai makan tersebut kelihatan seperti pendekar dan hulubalang Melayu kerana mengenakan busana pahlawan Melayu yang lengkap.

Setelah diselidiki, rupa-rupanya restoran itu diusahakan oleh ahli-ahli Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia Cawangan Perak yang berpusat di Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu sebagai satu daripada usaha mempromosi adat dan budaya Melayu.

Seorang pengusaha bersama, Osman Abdul Rahman berkata tujuan mereka berpakaian pahlawan Melayu lengkap dengan tengkolok dan samping bertujuan menterjemahkan budaya Melayu kepada orang ramai.

“Layanan yang diberikan kepada pelanggan turut mencerminkan budaya Melayu iaitu dengan lemah lembut dan penuh kesabaran supaya masyarakat dapat sama-sama menerapkan cara hidup Melayu. Warisan ini harus dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila,” katanya kepada media.

Setiap pekerja di kedai makan tersebut kelihatan seakan-akan seperti pendekar dan hulubalang Melayu kerana mengenakan busana pahlawan Melayu yang lengkap. – Agensi

  Osman berkata konsep restoran yang dibuka sejak 2016 itu merupakan cetusan idea pengasas persatuan, Mior Yazid Abdul Manaf dan diuruskan sepenuhnya oleh ahli-ahli di cawangan Perak bagi menampung kewangan persatuan.

Menurut Osman yang turut diberi jolokan Tok Tulis kerana merupakan setiausaha persatuan, warung itu dihiasi dengan gambar-gambar aktiviti kebudayaan persatuan serta fakta-fakta menarik mengenainya termasuk seni silat.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan tengkolok yang dipamerkan dalam warung pada harga bermula RM60 sehingga RM120,” katanya.

Beliau berkata warung itu dibuka seawal 7 pagi sehingga 11 pagi sebelum disambung semula pada 3 petang sehingga 7 malam setiap hari dengan menu utama roti canai dan masakan panas.

Mengenai pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP), Osman berkata pihaknya menyambung operasi pada minggu lalu dan telah meletakkan tanda pangkah pada meja yang tidak boleh diduduki oleh pelanggan, manakala lebihan kerusi yang ada disorok, agar tidak digunakan.

“Kami juga menggunakan pita untuk kepung sekeliling kedai supaya pelanggan boleh masuk hanya ikut satu laluan. Selain itu, kami juga hanya benarkan 16 pelanggan berada dalam kedai pada satu-satu masa,” katanya. – Bernama