Wasai muncong punyai tarikan tersendiri

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Sebagai sebahagian daripada usaha Majlis Perundingan Kampung (MPK) Batang Mitus, Tutong, mempromosi kampung tersebut dan aktiviti-aktivitinya serta tempat rekreasi pada amnya, ahli-ahli MPK tersebut telah mengadakan lawatan ke Wasai Muncong bersama dengan sepasukan kru penggambaran Radio Televisyen Brunei (RTB) untuk program penyiaran TV Rampai Pagi, baru-baru ini.

Lawatan tersebut telah diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Batang Mitus, Awang Suhili bin Alas. Sepanjang lawatan para pengunjung telah ditunjukkan sekitar lokasi dan penerokaan secara ringkas menuju ke Wasai Muncong.

Awang Suhili menyatakan bahawa Kampung Batang Mitus mempunyai beberapa buah tempat tarikan yang dapat ditawarkan. Beliau turut memberitahu ia adalah satu penghargaan bagi mereka untuk mengacarakan atau melayani kunjungan daripada pasukan RTB dan memenuhi tujuan usaha MPK itu. Ia juga diharap dapat memberi pendedahan terhadap wasai tersebut bagi kunjungan orang ramai dan berenang di perairan yang sejuk atau mengambil bahagian dalam aktiviti rekreasi di lokasi berkenaan.

Awang Suhaili turut menyatakan penghargaan mereka atas minat pengunjung yang datang untuk ke Kampung Batang Mitus.

Beliau turut mengambil kesempatan itu untuk berkongsi beberapa rancangan MPK dalam perancangan dan nasihat keselamatan kepada pendaki yang berminat melakukan aktiviti mendaki kawasan berkenaan.

Wasai Muncong dijaga oleh Bosoi Muncong Explorer Management and Services, sebuah organisasi yang ditubuhkan di bawah MPK Batang Mitus, yang anggotanya bertanggungjawab atas keselamatan dan penjagaan wasai itu dan sekitarnya.

Kru penggambaran Radio Televisyen Brunei (RTB) membuat liputan di Wasai Muncong untuk program penyiaran TV Rampai Pagi.