Wasai Teraja turut ditutup

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 22 OGOS – Selaras dengan langkah-langkah diperketat dan usaha yang dilaksanakan untuk membantu membendung penularan wabak COVID-19 di seluruh negara, pengurusan Rumah Panjang Teraja mengumumkan penutupan yang telah bermula pada 10 Ogos.

Ini bukan hanya termasuk premis sekitar rumah panjang berkenaan yang mempamerkan pelbagai budaya dan tradisi sebagai sebahagian daripada usaha ekopelancongan kawasan berkenaan, malah termasuk Wasai Teraja yang merupakan salah satu tarikan semula jadi kawasan itu.

Dengan pengumuman penutupan tersebut, Jawatankuasa dan Pengurusan Rumah Panjang Teraja menekankan bahawa kawasan berkenaan akan terus ditutup kepada pengunjung sehingga makluman lanjut.

Jawatankuasa dan pengurusan berkenaan juga menyatakan bahawa mereka akan memanfaatkan penutupan tersebut untuk melaksanakan penyelenggaraan dan penambahbaikan kepada kawasan sekitar Teraja bagi memastikan bahawa ia terus selamat bukan sahaja kepada penduduk malah pengunjung sebaik sahaja kembali beroperasi.

Wasai Teraja yang ditutup sementara selaras dengan langkah-langkah diperketat untuk membendung penularan COVID-19. – Gambar serahan Jawatankuasa dan Pengurusan Rumah Panjang Teraja