KABUL, 14 JAN – Taliban hari ini menggesa Washington untuk mendengar seruan ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memberikan dana Afghanistan yang dibekukan di Amerika Syarikat (AS), ketika krisis kemanusiaan semakin memburuk.
Pihak berkuasa AS membekukan dana berbilion dolar dalam aset Afghanistan selepas Taliban merampas kuasa pada Ogos berikutan pengunduran tentera luar. Kelmarin, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guteress menyeru Washington untuk memimpin dan menghentikan ‘kesengsaraan di Afghanistan’ dengan melepaskan dana.
“AS mesti memberi respons positif kepada suara antarabangsa dan melepaskan dana Afghanistan,” kata jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid menerusi Twitter.
Washington menahan hampir AS$9.5 bilion dalam aset kepunyaan bank pusat Afghanistan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia telah menggantungkan aktiviti di Afghanistan, menahan bantuan serta rizab baharu bernilai AS$340 juta oleh IMF pada Ogos. Kebanyakan negara-negara barat turut menggantungkan bantuan ke Afghanistan, salah sebuah negara termiskin di dunia. – AFP