Washington mungkin kompos jasad manusia

OLYMPIA, Washington, 23 April – Washington kemungkinan akan menjadi negara pertama membenarkan alternatif pengebumian dikenali sebagai ‘pengurangan organik semula jadi’ atau proses penguraian pantas jasad manusia menjadi tanah dalam beberapa minggu.

Rang undang-undang yang membenarkan proses itu kadang-kadang disebut sebagai ‘kompos manusia’ telah diluluskan oleh badan perundangan dan bakal diserahkan kepada Gabenor Demokrat Jay Inslee dan jika ditandatangani, ia akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2020.

Jurucakap Inslee, Jaime Smith berkata, rang undang-undang yang masih dikaji oleh pejabat Gabenor itu seolah-olah satu usaha bijak untuk ‘mengurangkan jejak manusia’ di muka bumi.

Penaja kepada pendekatan itu, Senator Demokrat Jamie Pedersen dari Seattle berkata bahawa kesan impak alam sekitar yang rendah apabila jasad dilupuskan sedemikian masuk akal terutama di kawasan bandar yang berpenduduk padat memandangkan proses pengkomposan itu hanya memerlukan kawasan Tanah seluas 0.76 meter padu.

Pedersen berkata bahawa undang-undang sama juga terpakai kepada kubur yang masih berselerak di beberapa kawasan, di mana saudara terdekat si mati boleh menyimpan ‘tanah kompos’ itu di dalam takar atau digunakan untuk menanam pokok di kawasan persendirian.

Katrina Spade menunjukkan sampel kompos bangkai lembu yang diurai menggunakan cip kayu, alfalfa dan jerami di sebuah kawasan perkuburan di Washington pada 19 April lalu. – AP

“Sungguh mengagumkan bahawa anda mempunyai pengalaman manusia universal yang sepenuhnya bahawa kita semua akan mati dan ini adalah satu bidang di mana teknologi tidak melakukan apa-apa untuk kita.

“Kita mempunyai dua cara untuk melupuskan jasad manusia selama ribuan tahun, mengebumikan atau membakarnya,” kata Pedersen. “Sudah tiba masanya teknologi memberi kita beberapa pilihan yang lebih baik daripada apa yang telah kita gunakan selama ini.”

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Recompose, Katrina Spade merupakan seorang pelajar siswazah dalam bidang seni bina di Universiti Massachusetts Amherst datang dengan idea para petani melupuskan bangkai ternakan selama beberapa dekad.

Dia mengubah suai sedikit proses itu dan mendapati bahawa penggunaan cip kayu, alfalfa dan jerami mencipta campuran nitrogen dan karbon yang mempercepat proses penguraian semula jadi apabila jasad diletakkan di dalam sebuah bekas berputar dan dikawal kelembapannya.

Menurut Spade, enam jasad yang telah didermakan oleh penderma yang ingin menjadi sebahagian daripada kajian projek perintis di Universiti Washington tahun lepas menunjukkan transformasi penguraian jasad manusia mengambil masa antara empat hingga tujuh minggu.

Bagaimanapun, bayaran perkhidmatan belum ditetapkan tetapi laman web Recompose menyatakan bahawa ‘matlamat syarikat adalah untuk menjadikan pengurusan ‘kematian abadi’ sebagai perniagaan mapan, berkhidmat kepada masyarakat selama dalam dekad datang dan menjadikannya tersedia bagi mereka yang memerlukan.

Menurut Persatuan Kremasi di Amerika Utara, kadar kremasi di Washington adalah yang tertinggi di Amerika Syarikat. Lebih 78 peratus daripada mereka yang meninggal dunia di negeri ini pada 2017 telah dikremasi dan jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 82 peratus pada 2022.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemakaman Washington, Rob Goff berkata, kumpulannya telah bertanyakan soalan tentang proses baharu itu dan Spade telah menjadi penceramah di beberapa siri mesyuarat daerah persekutuan, baru-baru ini. – AP