Waspada cuaca aktif musim tengkujuh

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal berikutan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku semasa musim tengkujuh.

Menurut JBP, Negara Brunei Darussalam pada masa ini telah memasuki monsun timur laut yang dijangka berterusan sehingga sekitar hujung Mac 2022.

Dua bulan pertama monsun ini yang dikenali sebagai musim tengkujuh, lazimnya menerima jumlah turunan hujan yang banyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

Semasa tempoh ini, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan
hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan menekankan bahawa semasa musim ini, adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai.

Tanah susur boleh sahaja berlaku pada musim tengkujuh kerana turunan hujan lebih banyak daripada bulan-bulan lain.
Anggota bomba menggunakan kanvas untuk menutup lereng bukit susulan tanah susur. – Gambar serahan JBP

Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta risiko kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari satu jam.

Luruan angin timur laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora yang mana boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj.

Menurut kenyataan itu lagi, keadaan laut juga berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jet ski, dan scuba diving) semasa musim ini.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Semasa beriadah mendaki bukit (hiking), orang ramai dinasihatkan untuk tidak masuk ke dalam kawasan bukit jika keadaan sekeliling atau cuaca sudah mulai gelap atau dalam keadaan hujan; jangan pergi secara berseorangan dan maklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan di mana tempat akan beriadah.

Untuk keselamatan, disarankan membawa wisel, lampu, telefon bimbit dan air yang mungkin akan diperlukan jika berlaku kecemasan.

Sementara itu, semasa situasi banjir, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau keadaan paras air di luar kawasan rumah; sentiasa bersedia menghadapi situasi banjir terutama sekali kawasan rendah dan mudah banjir; dan selamatkan harta benda ke tempat yang lebih tinggi termasuk nyawa dan dokumen-dokumen penting.

Apabila terjadinya tanah susur pula, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa bersedia bagi sebarang tindakan jika terdapat hakisan tanah yang mula menampakkan keruntuhan di sekeliling rumah dan untuk keselamatan jika perlu, tinggalkan atau kosongkan rumah jika sudah ternyata membahayakan nyawa.

Jika berlakunya kejadian angin kencang, dinasihatkan untuk tidak keluar rumah atau memandu semasa angin kencang dikhuatiri pokok tumbang dan ada objek-objek yang diterbangkan angin dan terkena pada kenderaan semasa memandu; dan tidak berhenti atau meletakkan kenderaan di kawasan yang berisiko seperti pokok, tiang elektrik, atau mana-mana objek yang tinggi.

Manakala itu, bagi cuaca berpetir atau kilat, disarankan untuk jangan berteduh atau berdiri di bawah pokok tinggi dan jauhkan dari struktur yang berlogam atau besi.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati dengan gangguan binatang liar atau serangga berbisa seperti ular, lipan atau kala jengking.

Menurut JBP, antara punca kemunculan binatang-binatang liar seperti buaya, biawak, ular dan sebagainya di tempat yang tidak sepatutnya adalah disebabkan oleh banjir; kawasan yang tidak bersih dan teratur (mengundang binatang kecil seperti tikus); rumput atau lalang yang terlalu panjang boleh menjadi tempat tinggal binatang liar berkenaan; dan binatang ternakan atau binatang peliharaan yang boleh menjadi sasaran binatang liar berkenaan.

JBP menyarankan orang awam agar memastikan persekitaran kawasan dalam keadaan bersih dan teratur.

Jika tidak berada di rumah, pastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup bagi mengelakkan binatang-binatang liar seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet memasuki rumah.