Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Orang ramai disarankan supaya tidak membuang puntung rokok yang masih menyala, para pemandu yang menggunakan jalan atau melintasi jalan raya berdekatan dengan kebakaran hutan, hendaklah sentiasa berhati-hati kerana asap kebakaran boleh menghalang penglihatan dan mengakibatkan kemalangan serta menekankan supaya orang ramai tidak membuat pembakaran terbuka atau perunan yang boleh melarat dan mengakibatkan kebakaran besar dan memusnahkan harta benda.
Saranan dan penekanan itu dibuat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, baru-baru ini di mana ia turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini, sedang mengalami keadaan cuaca panas dan kering walaupun adanya hujan sepertimana maklumat yang diterima daripada Bahagian Kaji Cuaca Brunei Darussalam.
Kejadian kebakaran hutan atau rumput semasa keadaan cuaca kering yang melanda negara pada masa ini akan mendorong ke arah pencemaran kualiti udara, pembawa gejala penyakit dan memusnahkan kehijauan hutan di negara ini.
Akibat daripada itu juga, ia akan menjejaskan dan menghalang penglihatan pengguna-pengguna jalan raya dan boleh membahayakan pengguna-pengguna jalan raya atau pengangkutan di sungai atau laut disebabkan oleh asap dan keadaan berjerebu daripada kebakaran hutan atau rumput.
Mengikut statistik kebakaran hutan dan rumput yang direkodkan oleh JBP, sebanyak 798 panggilan kebakaran hutan dan rumput dicatatkan bagi Januari hingga April 2020 dan sebanyak 176 panggilan kebakaran hutan dan rumput bagi Januari hingga 3 Mei 2021.

Daripada 789 panggilan yang diterima pada 2020, sebanyak 462 panggilan adalah bagi kejadian kebakaran hutan yang melibatkan kawasan seluas 577.46 hektar atau 516 padang bola dan sebanyak 336 panggilan adalah bagi kejadian kebakaran rumput yang melibatkan kawasan seluas 158.411 hektar atau 141 padang bola.
Manakala itu, daripada 176 panggilan kebakaran hutan dan rumput yang diterima bagi Januari hingga 3 Mei 2021, sebanyak 78 panggilan adalah bagi kejadian kebakaran hutan yang melibatkan kawasan seluas 85.58 hektar atau 76 padang bola dan sebanyak 98 panggilan adalah bagi kejadian kebakaran rumput yang melibatkan kawasan seluas 44.49 hektar atau 40 padang bola.
Kenyataan menyatakan bahawa kebakaran hutan tanah gambut merupakan salah satu cabaran bagi anggota bomba dalam memadamkan kebakaran bersekala besar yang sering berlaku di negara ini dan ia dipercayai berpunca daripada kejadian alam yang mana kebakaran bermula daripada api bawah tanah serta daripada kecuaian manusia yang mengambil kesempatan untuk membuat pembakaran terbuka dan ditinggalkan di kawasan-kawasan hutan demi kepentingan masing-masing.
Ketika keadaan cuaca yang tidak menentu terutama sekali semasa musim panas ini, JBP telah pun membuat kesiapsiagaan dengan membuat pemantauan menggunakan dron di tempat-tempat yang dikenal pasti mempunyai potensi berlakunya kebakaran hutan dan rumput di kawasan yang terjejas dengan lebih dekat (Aerial View) untuk memudahkan operasi memadamkan kebakaran berkenaan.
Dalam hubungan itu, kenyataan turut menyatakan bahawa berkaitan dengan peruntukan undang-undang negara adalah menjadi kesalahan di bawah seksyen 277A(2)(a) Bab 22 Kanun Hukuman Jenayah, sesiapa yang didapati menyebabkan kebakaran dengan sengaja atau kecuaian, atau membuat apa saja perkara yang berkaitan dengan api sehingga membahayakan nyawa atau harta, atau mencemar atmosfera sehingga menjejaskan kesihatan orang awam, si pelaku boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun, atau denda atau dua-duanya sekali.