Waspada cuaca tidak menentu

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung monsun barat daya di mana aliran angin pada amnya bertiup dari arah barat daya.

Pada kebiasaannya kejadian sistem siklon tropika seperti ribut tropika dan taufan aktif berlaku pada musim barat daya di kawasan rantau Barat Laut Pasifik dan Laut China Selatan.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), di sini, apabila berlakunya sistem siklon tropika di kawasan rantau Barat Pasifik dan Laut China Selatan, negara sering mengalami keadaa n cuaca tidak menentu dengan hujan ribut petir berserta angin kencang berlaku sekali-sekala, tertakluk kepada jarak lokasi sistem tersebut dari kawasan ne-gara kita.

Pada pukul 12:45 tengah hari waktu tempatan hari ini, Taufan ‘Maysak’ berada di lokasi 23.6 N 128.1 E, di kawasan Barat Laut Pasifik, iaitu sekitar 2400 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Taufan ‘Maysak’ diramal akan bergerak ke arah barat laut, menjauhi dari negara kita

Jelas kenyataan itu lagi, ramalan cuaca bagi tempoh beberapa hari akan datang diramalkan tidak menentu dengan hujan lebat dan berangin sekali-sekala.

Hujan atau hujan berpetir dijangka sekali-sekala lebat dan berangin dengan kelajuan boleh mencapai sehingga 45 kmsj.

Ramalan keadaan ombak bagi beberapa hari akan datang berada di paras sedikit iaitu di bawah 1.0 meter. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan,nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.