Waspada cuaca tidak menentu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Taufan Molave dikesan berada sekitar 1,333km jaraknya dari Negara Brunei Darussalam pada awal pagi hari ini dan diramal akan bergerak ke arah barat laut menjauhi negara ini.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dalam pengemaskinian cuaca hari ini, taufan tersebut dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca di negara ini secara tidak langsung sekali gus menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat berserta angin kencang berlaku sekali-sekala.

Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 50kmsj semasa hujan lebat manakala ketinggian ombak di kawasan perairan negara adalah pada paras sederhana ke tahap bergelora se-hingga 2.5 meter.

Sehubungan itu, jabatan tersebut menasihatkan orang ramai supaya mengambil perhatian risiko banjir kilat terutama di kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai terutamanya pemandu di jalan raya dan pelaut juga dinasihatkan agar sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan jabatan berkenaan, selain mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu.

Orang ramai bolehlah mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman media sosial, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.

Mana-mana individu yang menerima mesej tular tersebut dinasihatkan supaya menghentikan penyebarannya kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan orang awam.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang tidak sahih.