Waspada cuaca tidak menentu

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Negara Brunei Darussalam kini berada dalam Monsun Barat Daya dengan arah angin bertiup dari barat daya manakala pembentukan sistem siklon seperti ribut tropika dan taufan di rantau Barat Daya Pasifik dan Laut China Selatan turut aktif ketika monsun ini.

Sehubungan itu, jika berlaku pembentukan sistem siklon, negara akan mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan ribut petir serta angin kencang berlaku sekali-sekala, tertakluk kepada jarak lokasi sistem siklon dari negara ini.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan pada 9 pagi hari ini, lekukan tropika telah dikesan di kedudukan 19 N 132.7 E sebelah barat Laut Pasifik. Sistem tersebut bagaimanapun menjauhi rantau ini dan bergerak ke arah timur laut.

Dalam pada itu, cuaca kering masih berterusan di kebanyakan kawasan selatan ASEAN dengan kelompok titik panas dikesan di rantau ini (rujuk rajah) dengan asap jerebu ditiup angin ke arah negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, cuaca di sini secara tidak langsung akan dipengaruhi lekukan tropika dengan peningkatan intensiti angin monsun barat daya dalam masa beberapa hari akan datang. Dalam tempoh tersebut, cuaca sedikit berangin dengan hujan ribut berlaku sekali-sekala terutama di kawasan perairan dan pesisiran negara. Ombak juga dijangka meningkat ke paras bergelora sehingga tiga meter sekali-sekala.

Dengan keadaan berjerebu yang kini menyelubungi negara, penurunan jarak penglihatan mendatar antara 4 hingga 6km direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dalam tempoh 24 jam lalu. Ini kerana asap jerebu rentas sempadan yang ditiup angin barat daya yang konsisten ke negara ini dan dijangka berterusan pada minggu ini.

Dengan angin kencang dan laut bergelora diramalkan berlaku, Jabatan Kajicuaca menasihatkan bahawa ia adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut seperti berenang, jetski, selam skuba dan lain-lain.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengambil langkah sewajarnya, manakala jabatan itu akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Rajah menunjukkan arah angin dan kelompok titik panas yang turut menjejaskan keadaan cuaca di negara ini.