Waspada cubaan penipuan e-mel bank

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengingatkan orang ramai untuk terus berwaspada terhadap percubaan pancingan data e-mel yang bermaksud untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan pelanggan dengan tujuan menyebabkan kerugian kewangan.

Menurut kenyataan BIBD, hari ini, susulan beberapa e-mel penipuan, bank berkenaan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menerima sebarang e-mel yang mendakwa ia daripada BIBD.

Kes baru-baru ini menunjukkan percubaan pancingan data menerusi e-mel yang mendakwa menawarkan Pakej Bantuan COVID-19, dengan satu pautan mendakwa ia daripada laman web rasmi bank.

Apabila pautan ditekan, pelanggan akan dibawa ke halaman baharu yang menyamar sebagai laman web bank dan digesa untuk mengisi nama perbankan pengguna dan butiran peranti token.

Ini akan memudahkan mereka mengakses kepada kemudahan perbankan pengguna, yang boleh menyebabkan kerugian kewangan.

BIBD sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa bank itu tidak akan sekali-kali meminta butiran peribadi atau perbankan melalui e-mel.

Sekiranya pihak bank menginginkan butiran peribadi pelanggannya, ianya akan dibuat secara terbuka dengan mengeluarkan notis rasmi bank.

Orang ramai boleh mengesahkan kesahihan mana-mana e-mel yang diterima daripada BIBD dengan menghubungi Pusat Perhubungan BIBD di talian 2238181 atau melalui mesej mudah alih dalam BIBD NEXGEN Wallet.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada membalas e-mel tersebut jika tidak pasti kesahihannya dan mengelak daripada berkongsi sebarang peri-badi atau butiran kewangan melalui telefon atau platform media lain seperti e-mel atau media sosial.

Sekiranya pelanggan secara tidak sengaja telah berkongsi butiran, mereka dinasihatkan untuk memaklumkan pihak bank dengan segera dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak yang berkuasa.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memberi maklumat peribadi dan perbankan menerusi e-mel. – Gambar serahan BIBD