Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Trend kes influenza dan jangkitan serupa influenza (ILI) di negara ini menunjukkan penurunan pada minggu lalu.
“Walau bagaimanapun, trend jangkitan masih belum kembali sepenuhnya ke paras normal,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada sidang media berlangsung hari ini di Kementerian Kesihatan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai terus berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengasingkan diri jika mengalami tanda-tanda jangkitan dan mengelakkan dari tempat-tempat yang penuh sesak.
“Segera berjumpa doktor jika tanda-tanda jangkitan berterusan atau semakin teruk.
“Dapatkan suntikan influenza, khususnya bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah-masalah kesihatan,” tambah beliau.
Pada sidang media itu juga, Yang Berhormat Dato mempelawa orang ramai untuk terus menyertai Cabaran 20 Bilion Langkah Bersama yang kini sedang berjalan dan disasarkan untuk dicapai pada penghujung tahun ini.
“Orang ramai diingatkan untuk mengemaskinikan langkah mereka dalam aplikasi BruHealth setiap hari dengan menekan punat ciri BN on the Move dalam aplikasi BruHealth masing-masing.
“Marilah kita sama-sama mencapai 20 Bilion Langkah Bersama dan menuju ke arah gaya hidup yang lebih sihat.
“Teruslah bergerak untuk kesihatan, setiap langkah adalah penting,” katanya.