Waspada dengan stres haba di tempat kerja

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dalam kenyataannya menasihatkan semua prinsipal, pekerja, majikan dan individu yang bekerja sendiri untuk mengurangkan risiko kesihatan akibat stres haba, terutama pada bulan Ramadan di mana kebanyakan para pekerja menjalani ibadah puasa yang boleh mengakibatkan keletihan dan kekurangan air.

Apakah stres haba? Dalam cuaca panas, badan berpeluh dan peluh itu kemudian meluap untuk menyejukkan kulit.

Ketika suhu luar lebih panas daripada suhu badan, atau ketika kelembapan tinggi dan peluh tidak dapat meluap dengan sempurna, akan menyebabkan beberapa masalah kesihatan yang berkaitan dengan panas mungkin terjadi. Risiko utama adalah dehidrasi (kurang air) dan hipertermia (terlalu panas), yang boleh memburukkan lagi gejala bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau menyebabkan orang itu mengalami keletihan akibat panas atau stres haba.

Untuk mengurangkan risiko itu, rancang aktiviti kerja dengan sewajarnya; meningkatkan kesedaran di kalangan pekerja mengenai tanda amaran keletihan dan dehidrasi; sediakan peralatan pelindung diri yang sesuai; sediakan alat bantu mekanikal untuk mengurangkan fizikal kerja; pastikan pekerja berehat di tempat terlindung semasa cuaca sangat panas; menyediakan tempat berasingan seperti kantin untuk membolehkan pekerja yang tidak berpuasa makan dan kekal hidrasi; kenalpasti pekerja yang lebih terdedah kepada stres haba kerana penyakit, keadaan atau ubat-ubatan yang boleh menyumbang kepada permulaan stres haba seperti wanita hamil atau mereka yang mempunyai masalah jantung; galakkan pekerja mendapat rehat sekiranya mereka kelihatan letih atau lelah dan menyediakan pertolongan cemas atau bantuan perubatan sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, pekerja perlu diberi pengawasan yang mencukupi dan cuba elak daripada bekerja seorang diri; menggalakkan pekerja untuk bersikap terbuka sekiranya mereka merasakan kesan buruk terhadap kesihatan; kawal suhu persekitaran menggunakan penyelesaian kejuruteraan seperti ubah proses, gunakan kipas angin atau penghawa dingin, gunakan penghalang fizikal yang mengurangkan pendedahan kepada sinaran panas.

Stres haba boleh menyebabkan masalah terutama bagi orang yang mempunyai keadaan kesihatan yang sedia ada seperti diabetes mellitus, penyakit jantung atau tekanan darah tinggi namun sesiapa yang bekerja dalam suhu tinggi yang luar biasa boleh terdedah kepada stres haba.

Contoh tempat kerja di mana pekerja mungkin mengalami stres haba adalah seperti tapak pembinaan; ladang pertanian; kilang pembuatan kaca dan getah; lombong; terowong; stesen janakuasa konvensional; loji pembakaran batu bata dan seramik; kedai roti dan dapur; dobi dan aktiviti yang serupa. Dalam industri ini, bekerja di persekitaran yang panas mungkin merupakan kebiasaan tetapi ia perlu sering dikaji oleh pihak majikan.

Di bawah Seksyen 12 Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, 2009 (WSHO), tugas majikan termasuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjanya dan orang lain seperti orang awam.

Majikan juga perlu memberi arahan, latihan dan pengawasan yang mencukupi untuk pekerja melaksanakan tugas mereka dengan selamat.

Di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Pengurusan Risiko), 2014, majikan, individu yang bekerja sendiri dan prinsipal diperlukan untuk melakukan penilaian risiko khususnya terhadap aktiviti mereka berkaitan dengan risiko keselamatan dan kesihatan yang boleh timbul pada mana-mana orang, dan perlu mengambil semua langkah berpatutan untuk menghilangkan risiko yang tidak dijangkakan pada mana-mana orang di tempat kerja sebelum memulakan kerja mereka di tapak.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai garis panduan, boleh menghubungi SHENA di talian 2382000 atau emel [email protected]

Untuk membuat laporan berkaitan kerja, kejadian atau kematian, boleh menghubungi talian 7332200.