Waspada gangguan binatang liar

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

TEMBURONG, 22 NOV – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan orang ramai untuk memastikan persekitaran kawasan dalam keadaan bersih dan teratur, memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup jika tidak berada di rumah bagi menggelakkan binatang-binatang liar memasuki rumah mereka serta memastikan keselamatan penduduk yang tinggal berdekatan.

JBP membuat saranan berkenaan berikutan dua insiden gangguan binatang liar yang dilaporkan berlaku di dua lokasi berasingan di Daerah Temburong.

Menurut kenyataan JBP, seekor buaya berukuran kira-kira tiga meter yang ditemui berada di dalam longkang telah berjaya ditangkap di Kampung Senukoh, Temburong, hari ini.
Enam orang anggota dari Balai Bomba Bangar telah dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 5:04 pagi.

Kenyataan menyatakan, buaya berkenaan seterusnya diserahkan kepada Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bagi tindakan selanjutnya.

Sementara itu, pada 20 November lalu, seekor ular tedung berukuran kira-kira 1 meter ditemui di kawasan loji penapisan air di Kampung Sumbiling Baru, Temburong.

Menurut JBP, enam orang anggota bomba dan penyelamat dengan sebuah jentera dari Balai Bomba Rataie dikejarkan ke tempat insiden pada pukul 8:24 malam.

Kenyataan menyatakan bahawa ular tedung berkenaan didapati melilit pada kabel
elektrik dan ditangkap dengan menggunakan snake catcher.

Ular itu seterusnya dilepaskan ke habitatnya di kawasan yang jauh dari tempat kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan orang awam daripada bahaya.

Anggota bomba dan penyelamat menunjukkan ular tedung yang didapati melilit pada kabel elektrik di Loji Penapisan Air Kampung Sumbiling Baru, Temburong pada 20 November lalu.
Buaya berukuran kira-kira tiga meter yang berjaya ditangkap oleh anggota bomba dan penyelamat di Kampung Senukoh.