Waspada gelombang kedua – Jokowi

JAKARTA, 28 JULAI – Presiden Indonesia Joko Widodo memberi amaran kepada orang ramai hari ini kemungkinan berlaku gelombang kedua jangkitan COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Amaran itu muncul ketika peningkatan pandemik di beberapa negara asing setelah perintah kawalan pergerakan dilonggarkan dan pembukaan semula aktiviti perniagaan.

Jokowi meminta pihak berkuasa sentiasa bersedia dan meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi menghadapi ancaman tersebut.

“Kita perlu sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gelombang ke-dua dan menjangkakannya,” kata Jokowi pada mesyuarat kabinet.

Amaran itu disampaikan selepas beliau membentangkan prospek pertumbuhan ekonomi negara yang meyakinkan dengan unjuran 5.4 peratus tahun depan seperti yang dijangkakan Tabung Kewangan Antarabangsa. Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat kepada 102,051 kes, dengan jumlah kematian keseluruhan kini 4,901 orang.

Berdasarkan data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi peme-rintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 46,648 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 63 lagi kematian dicatatkan, manakala kes positif baharu adalah sebanyak 1,748 kes. Provinsi Jawa Timur mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 21,125 kes, diikuti Jakarta (19,995) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Indonesia baru-baru ini melonggarkan perintah kawalan pergerakan bagi merancakkan kembali perniagaan dan pembukaan semula aktiviti pelancongan di bawah protokol kesihatan yang ketat. – Bernama

Joko Widodo memberi amaran tegas kepada orang ramai kemungkinan berlaku gelombang kedua jangkitan COVID-19 berikutan dengan kadar jangkitan virus yang semakin meningkat. – AFP