Waspada guna jambatan ketika hujan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Berikutan kejadian pokok kayu tumbang di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan ingin menasihatkan para pengguna jambatan untuk mengambil langkah-langkah berwaspada dan lebih berhati-hati semasa menggunakan jambatan berkenaan, terutama dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang.

Menurut kenyataan daripada JKR di sini, pokok tumbang berkenaan kini sedang dibersihkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, pihak jambatan juga akan melaksanakan kerja-kerja pemotongan kayu di sepanjang jambatan berkenaan (kawasan Labu Estate) dalam masa terdekat. Para pengguna jalan raya adalah dinasihatkan untuk mematuhi had laju maksimum ketika waktu hujan iaitu 70kmsj.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mematuhi tanda-tanda lalu lintas yang disediakan serta memandu dengan perlahan ketika mendekati kawasan berkenaan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Sebarang pertanyaan serta aduan, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan ini melalui Talian Darussalam: 123 / livechat +673 8333123, Facebook: Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel: [email protected]