Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Waspada hepatitis akut di kalangan kanak-kanak

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang berumur 16 tahun ke bawah adalah dinasihatkan untuk membawa anak-anak mereka segera berjumpa doktor sekiranya mereka didapati mempunyai gejala seperti badan atau mata kekuningan (jaundice), hilang selera makan, rasa mual, muntah, rasa lebih letih atau air kencing berwarna gelap.

    Nasihat itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato berkata berikutan dengan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 23 April 2022, berkenaan dengan kejadian, Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Puncanya di kalangan kanak-kanak berumur di antara satu bulan dan 16 tahun yang mana kebanyakannya adalah kanak-kanak berumur tiga hingga lima tahun, setakat 21 April, sekurang-kurangnya 169 kes telah dilaporkan di 12 buah negara di seluruh dunia dengan United Kingdom melaporkan jumlah kes terbanyak iaitu 114 kes.

    “Setakat ini, tiga buah negara di Asia telah melaporkan kes-kes berkenaan iaitu Jepun dengan tiga kes, Singapura dengan satu kes dan Indonesia dengan tiga kes.” Yang Berhormat Dato berkata lanjut, “Sehingga kini, tidak ada kes serupa telah dikesan di Negara Brunei Darussalam.”

    Kejadian itu, jelasnya, telah dikategorikan sebagai Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Puncanya kerana penyebab lazim bagi hepatitis iaitu radang hati seperti virus hepatitis A, B, C, D dan E tidak dikesan melalui ujian makmal.

    Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya 74 daripada kes-kes yang dilaporkan di seluruh dunia telah dikaitkan dengan adenovirus manakala 20 kes telah dikaitkan dengan virus SARS-CoV-2.

    Setakat ini, punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan dan Kementerian Kesihatan telah mempertingkatkan pemantauan di dalam negara bagi mengesan mana-mana pesakit yang mempunyai simptom-simptom yang serupa.

    Yang Berhormat Dato berkata kementeriannya juga sentiasa ber-hubung dengan pihak WHO bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkara itu.

    Hepatitis akut bukanlah salah satu ciri yang lazim didapati bagi jangkitan COVID di kalangan kanak-kanak atau komplikasi bagi vaksinasi COVID bagi kanak-kanak.

    Yang Berhormat Dato berkata pihak berkuasa di United Kingdom telah mendapati kes-kes yang dikesan dalam kejadian hepatitis akut di negara berkenaan adalah kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksinasi COVID-19.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...