Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Waspada jerat scammer Telegram

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Susulan peningkatan jumlah laporan terbaharu daripada pengguna Telegram tempatan, Pasukan Respons Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT) telah mengeluarkan nasihat keselamatan siber tentang ancaman rampasan akaun Telegram yang dilakukan oleh penipu (scammer).

    Menurut BruCERT hari ini, penipu akan cuba log masuk ke akaun Telegram pengguna dan menghantar mesej secara automatik daripada Telegram yang mengandungi kod log masuk lima digit.

    Pengguna kemudian akan menerima mesej daripada individu yang menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga daripada senarai kontak dengan meminta tangkapan skrin sembang Telegram pengguna.

    Memandangkan penipu tidak meminta kod log masuk secara langsung, sesetengah pengguna tanpa disedari akan mematuhi permintaan tersebut.

    Menggunakan akaun Telegram yang dirampas, penipu kemudiannya akan menghubungi orang dalam senarai kenalan mangsa.

    Sambil menyamar sebagai pengguna akaun yang dirampas, penipu akan menggunakan pelbagai alasan untuk meminta wang dipindahkan ke akaun bank tempatan tertentu.

    Oleh itu, BruCERT menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan permintaan aneh yang diterima melalui Telegram atau aplikasi pemesejan lain, dan menghubungi pengirim untuk menyemak semula kesahihan permintaan tersebut.

    Pengguna tidak boleh berkongsi kod pengesahan dan mesti berhati-hati apabila mendedahkan maklumat sulit.

    Untuk butiran lanjut tentang nasihat dan cara untuk melindungi akaun Telegram awda, sila rujuk kepada nasihat rasmi yang boleh dilihat di laman web kesedaran awam BruCERT
    www.secureverifyconnect.info.

    Manakala itu bagi melaporkan insiden keselamatan siber, sila hubungi BruCERT melalui e-mel ke reporting@brucert.org.bn, talian 2458001, atau WhatsApp 7170766.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...