Sunday, December 10, 2023
28.8 C
Brunei

    -

    Waspada kejadian cuaca aktif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Negara Brunei Darussalam masih berada di penghujung monsun barat daya di mana pada amnya negara mengalami keadaan cuaca baik pada waktu pagi dan hujan pada waktu petang atau malam dengan sekali skala berlaku hujan badai.

    Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa pada pukul 5:45 pagi waktu tempatan tadi, Taufan Hinnamnor dikesan di koordinat 29.2 N 124.7 E, di kawasan Laut China Timur, sekitar 2,935 kilometer jauh dari Negara Brunei Darussalam.

    Taufan Hinnamnor diramalkan akan bergerak ke arah timur laut menjauhi Brunei dan taufan itu dijangka mempengaruhi keadaan cuaca negara secara tidak langsung.

    Walau bagaimanapun, pembentukan satu sistem tekanan rendah berdekatan dengan negara akan menjadikan keadaan atmosfera menjadi tidak stabil dan lembap serta seterusnya menggalakkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.

    Keadaan cuaca aktif dijangka bermula 8 hingga 11 September dengan hujan atau hujan berpetir sekali-skala, terutamanya pada waktu petang dan berterusan hingga ke malam.

    Keadaan hujan berkemungkinan berlanjutan hingga ke awal pagi, hujan dijangka sekali-skala lebat berserta angin kencang dengan kelajuan angin boleh meningkat 40 kmsj.

    Keadaan laut pada amnya di paras sedikit dengan ketinggian ombak 0.6 hingga paras sederhana dengan ketinggian 1.2 m.

    BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai terutamanya para pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram @bruneiweather.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    India larang eksport bawang

    NEW DELHI, 8 DIS – India melarang eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna. Kerajaan memutuskan untuk memindahkan...