Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Waspada ketika memandu di jalan raya

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya ketika memandu di jalan raya.

    Saranan ini disampaikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) pada Malam Munajat ke-62, malam tadi.

    Malam Munajat kali ini dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama MKKJR sempena menyambut Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2022.

    Acara diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Pemanduan Berhemah’ disampaikan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Sammali bin Haji Adam dari Masjid Sufri Bolkiah, Kampung Perpindahan Berakas.

    Dalam tazkirah itu, Haji Sammali antara lain mengingatkan nikmat yang Allah kurniakan berupa kenderaan dan jalan raya sewajarnya dimanfaatkan dengan bijaksana dan penuh berhemah.

    “Selaku pemandu dan pengguna jalan raya hendaklah berusaha agar dapat mengelakkan dan menyelamatkan daripada kemalangan, ia bukan hanya keselamatan untuk diri sendiri malah untuk orang yang ada di sekeliling.

    “Pemanduan berhemah adalah sebahagian daripada sikap amal soleh yang Allah jamin akan memperoleh kehidupan yang baik.”

    Katanya lagi, “Sebelum membuat perjalanan dan sebagai pemandu perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan-pengetahuan khusus tentang pemanduan selain mengetahui undang-undang jalan raya dan mempunyai kemahiran dalam aspek pemanduan.”

    Malam Munajat kali ini turut mengundang tetamu khas terdiri daripada ahli-ahli MKKJR, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sufri Bolkiah dan pelajar-pelajar IBTE Kampus Agro-Teknologi.

    Majlis juga menyaksikan penyertaan jemaah dari 103 buah masjid dan daripada warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan KHEU berserta keluarga mereka.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyertai Malam Munajat ke-62 secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...