Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada panggilan telefon mencurigakan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada mengenai penipuan panggilan telefon terkini yang menyasarkan pelanggan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), melibatkan pemanggil yang mendakwa diri dari BIBD dan meminta maklumat akaun pelanggan dengan alasan untuk mengesahkan ‘transaksi mencurigakan.’

    Menurut kenyataan BIBD, pelanggan melaporkan menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil BIBD.

    Pemanggil menyatakan bahawa terdapat transaksi mencurigakan pada akaun atau kad kredit pelanggan dan meminta maklumat akaun, kononnya untuk tujuan pengesahan atau sebab-sebab lain.

    BIBD menegaskan bahawa panggilan-panggilan berkenaan adalah penipuan dan pelanggan dinasihatkan untuk tidak memberikan maklumat sulit melalui telefon.

    Sehubungan itu, pelanggan digesa sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk jangan sesekali mendedahkan maklumat akaun, kata laluan atau OTP kepada sesiapa sahaja melalui telefon atau apa jua saluran kerana BIBD tidak akan meminta maklumat sulit pelanggan dengan cara ini.

    Selain itu, sahkan sebarang panggilan dengan menghubungi BIBD secara terus melalui saluran rasmi sahaja untuk memastikan awda berhubung dengan wakil yang sah dan melaporkan sebarang panggilan atau mesej mencurigakan kepada BIBD dengan segera untuk tindakan lanjut.

    Jika pelanggan mengesyaki bahawa mereka telah menjadi mangsa penipuan ini, mereka dinasihatkan membuat laporan rasmi dengan Pasukan Polis Diraja Brunei atau mengunjungi mana-mana cawangan BIBD untuk membuat aduan dengan menyediakan salinan laporan polis tersebut.

    BIBD mengutamakan keselamatan dan privasi pelanggan serta menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap penipuan sebegini.

    Pelanggan juga digalakkan untuk menyebarkan maklumat ini agar orang lain turut berjaga-jaga.

    Gambar Freepik

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda