Waspada penipuan guna nama menteri

PUTRAJAYA, 10 Mac – Orang ramai diingatkan berwaspada dengan kegiatan penipuan dalam talian yang menggunakan nama Kementerian Kewangan (MOF) dan menterinya Lim Guan Eng.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan Lutfi Hakim berkata pihak yang tidak bertanggungjawab itu dikesan menggunakan format dokumen dan alamat surat menyurat yang ‘kelihatan rasmi’ untuk mengelirukan orang ramai dan melakukan penipuan.

Menurutnya perkara itu terdedah selepas seorang individu daripada Filipina telah mengirim emel ke alamat rasmi menteri kewangan, bagi mendapatkan pengesahan sama ada surat yang diterimanya adalah tulen dan dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata individu tersebut telah menerima emel daripada alamat emel menteri kewangan bersama-sama sepucuk surat bertarikh 4 Mac daripada MOF yang mengandungi tandatangan menteri kewangan.

“Emel dan surat itu mengandungi maklumat iaitu MOF mengesahkan bahawa seorang diplomat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bernama ‘Bleck Dildrop’ telah diberi kuasa oleh kementerian untuk mengendalikan transaksi individu tersebut.

Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng semasa sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini. Lutfi Hakim menggesa orang ramai berwaspada dengan kegiatan penipuan dalam talian yang menggunakan nama Kementerian Kewangan Malaysia dan menterinya. – Bernama

“Suatu kotak telah dihantar kepada individu tersebut, dan kotak itu hanya akan dihantar kepada beliau sekiranya bayaran berjumlah AS$30,520 dibayar kepada diplomat tersebut,” katanya.

Lutfi berkata sebaik sahaja individu berkenaan membuat bayaran seperti dinyatakan kepada diplomat tersebut, Bleck Dildrop akan menghantar kotak itu kepada alamatnya di Filipina.

Katanya surat tersebut mengandungi tandatangan Lim Guan Eng dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan dan anggota ‘Government Secretariat Executive Council’.

Menurut Lutfi, MOF dan Lim tidak pernah sama sekali mengeluarkan surat sedemikian dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai kotak dan bayaran berjumlah AS$30,520 seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut.

Surat tersebut adalah surat yang palsu dan telah dikeluarkan untuk tujuan menipu, katanya.

Lutfi berkata satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini berhubung perkara itu. – Bernama