Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Negara Brunei Darussalam sebelum ini telah mengalami keadaan cuaca panas dan kering dari segi klimatologi iaitu pada Februari hingga April, yang mana ia dikategorikan sebagai tiga bulan yang terkering dan telah mengakibatkan banyak kebakaran hutan berskala besar dan berjerebu.
Mengikut pusingan monsun, negara akan memasuki musim peralihan monsun sekitar awal April. Semasa musim itu, luruan angin timur laut yang dominan pada masa ini akan dijangka beransur-ansur reda dan kesan angin tempatan (local wind effect) akan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keadaan cuaca di negara ini.
Negara pada kebiasaannya mengalami keadaan cuaca yang panas pada siang hari, manakala hujan ribut petir berpotensi berlaku terutama pada lewat petang hingga ke lewat malam.
Mengikut salah satu pencerapan kaji cuaca telah merekodkan bilangan kedua tertinggi kejadian ribut petir diramalkan semasa April dan Mei.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), pada 2018, telah menerima sebanyak 589 panggilan bagi insiden pokok tumbang, tanah susur sebanyak 82 panggilan dan banjir sebanyak 37 panggilan.
Sementara itu, pada 2019 dari Januari hingga April, JBP telah menerima sebanyak 101 panggilan bagi insiden pokok tumbang, tanah susur dua panggilan dan banjir enam panggilan.
Dalam hubungan itu, JBP mengingatkan orang ramai dan penduduk di negara ini supaya sentiasa peka untuk meningkatkan keselamatan,kewaspadaan dan sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir dan tanah susur.
“Pastikan awda sentiasa peka atau mengikuti keadaan cuaca dari semasa ke semasa,” jelas Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusof mengenai saranan JBP bagi mengutamakan keselamatan semasa musim tengkujuh.
Kepekaan orang ramai mengenai keadaan cuaca dari semasa ke semasa adalah amat penting serta mengetahui aspek-aspek keselamatan dan persediaan mengenainya adalah langkah-langkah yang terbaik untuk keselamatan bersama.
Semasa hujan, orang ramai disarankan untuk tidak membuat aktiviti di luar, jangan keluar rumah atau memandu semasa keadaan hujan lebat jika tidak ada keperluan yang sangat penting dan jika terperangkap dalam keadaan cuaca buruk, mereka disarankan untuk mencari tempat yang selamat untuk berhenti.
Manakala itu, jika berlaku tanah susur iaitu berkaitan keadaan cuaca dengan turunan hujan yang berpanjangan, untuk keselamatan, jika kedudukan rumah mereka berada di atas atau di lereng atau bawah bukit disarankan untuk memantau keadaan kawasan atau tanah sekeliling rumah mereka dan tanah bukit yang berdekatan, sentiasa bersedia untuk sebarang tindakan jika mendapati terdapat hakisan tanah yang mula menampakkan keruntuhan serta untuk keselamatan, meninggalkan atau mengosongkan rumah jika sudah ternyata membahayakan nyawa.
Jika berlaku angin kencang, orang ramai disarankan untuk tidak keluar rumah atau memandu semasa angin kencang kerana dikhuatiri pokok tumbang dan ada objek-objek yang diterbangkan angin dan terkena pada kenderaan semasa memandu serta untuk tidak berhenti atau meletakkan kenderaan mereka di kawasan yang berisiko seperti pokok, tiang elektrik atau mana-mana objek yang tinggi.
Jika berlaku banjir semasa musim hujan terutama di kawasan rendah dan mudah banjir serta kawasan yang berdekatan dengan sungai, mereka disarankan supaya sentiasa mengetahui keadaan cuaca dari semasa ke semasa, sentiasa memantau keadaan paras air di luar kawasan rumah.
Selain itu, sentiasa bersedia menghadapi situasi banjir terutama sekali kawasan rendah dan mudah banjir, menyelamatkan harta benda dengan meletakkannya ke tempat yang lebih tinggi termasuk nyawa dan dokumen-dokumen penting, tidak bermain atau keluar di kawasan yang dilanda banjir teruk, tidak menghampiri kawasan longkang besar atau tiang elektrik serta untuk sentiasa mengawasi keberadaan anak-anak mereka semasa dalam keadaan banjir.
Semasa cuaca berpetir atau kilat, mereka disarankan untuk tidak melakukan aktiviti luar atau keluar rumah, tidak berada di kawasan terbuka, tidak berteduh atau berdiri di bawah pokok tinggi dan untuk menjauhkan diri dari struktur yang berlogam atau besi.
Pada masa yang sama, JBP juga menasihatkan orang ramai untuk mengetahui aspek keselamatan mengenai penggunaan dobi layan sendiri (self-service laundry) untuk tujuan mencuci dan mengeringkan pakaian dengan mudah dan cepat termasuk semasa musim hujan untuk jika boleh, meletakkan kereta mereka jauh dari kedai mesin pencuci berkenaan.
Mereka juga dinasihatkan untuk menggelakkan dari berada di dalam kawasan kedai dobi layan sendiri semasa membuat pengeringan pakaian mereka, manakala pemaju kedai mesin pencuci mestilah memaparkan papan tanda tutup semasa membuat penyelenggaraan dan tidak boleh digunakan oleh pengguna.
JBP bersiap siaga 24 jam dan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di darat mahu pun di perairan bagi mengambil langkah-langkah yang berpatutan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku terutama di kawasan-kawasan rendah serta kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Walau bagaimanapun, kefahaman serta bantuan orang ramai dalam sama-sama bertindak meningkatkan keselamatan peringkat awal merupakan tindakan yang terbaik sebelum bantuan tiba.
Jika berlakunya sebarang insiden kecemasan, mereka diseru untuk menghubungi terus talian kecemasan 995 JBP.