Waspada produk melebihi had keselamatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan tiga produk pensanitasi tangan dan satu produk disinfektan yang didapati mengandungi bahan kimia yang tidak diisytiharkan dan melebihi had keselamatan mengikut jenis produk.

Penemuan itu dibuat susulan ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan, menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Produk pensanitasi tangan berkenaan adalah Cosmo Instant Hand Sanitizer Antiseptic/ Disinfectant Germ Protection with Moisturizer & Vitamin E (65ml) dengan no bac 24008N dan dikilangkan oleh Premier Cosmetics & Toiletries Industries LLC, Dubai, UAE serta Primo Hand Gel Hand Sanitizer Original (500ml) dengan nombor bac 0414.0050 ABJBBJ dan Primo Hand Gel Hand Sanitizer Green Tea (500ml) dengan nombor bac 0414.0018 ABJBBJ, kedua-duanya dikilangkan PT JC Utama Teknik, Indonesia.

Manakala itu, produk disinfektan yang tercemar ialah Robinson Isopropyl Rubbing Alcohol (250ml) dengan nombor bac 14899 dan dikilangkan di Amerika Syarikat. Kesemua produk berkenaan didapati mengandungi metanol yang boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan sekiranya tidak dipantau dan digunakan dengan betul.

Kenyataan menjelaskan, metanol adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam industri farmaseutikal sebagai cecair, sebagai agen denaturant Ethanol, pembuatan Formaldehyde dan sebagai pelarut dalam industri pembinaan seperti cat, varnis dan sebagainya.

Pendedahan kepada metanol boleh berlaku apabila ia dimakan/diminum, dihidu, dan juga melalui penyerapan kulit. Apabila seseorang terdedah kepada metanol, kebanyakannya akan bertukar kepada Formaldehyde, dan seterusnya bertukar kepada asid formik di organ hati manusia. Asid formik boleh menyebabkan kerosakan kepada otak dan saraf optik serta memudaratkan penglihatan.

Tanda-tanda keracunan metanol ialah kesesakan nafas, mual-mual dan muntah, gangguan penglihatan atau kehilangan penglihatan. Berikutan hasil dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.