Waspada semasa banjir, cegah penyakit berjangkit

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Berikutan dengan kejadian hujan lebat dan banjir pada masa ini, orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang terjejas dan dilanda banjir diingatkan supaya mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan dan air seperti kolera, cirit birit, keracunan makanan dan penyakit-penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan sebagainya.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan lagi bahawa antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa dan selepas berlakunya banjir termasuk memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar, memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol, memasak semua makanan dengan sempurna, mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih dan sabun selepas menggunakan tandas, menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan dan tidak membuang sampah merata-rata serta memastikan saliran air supaya tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan-dahan pokok.

Kenyataan turut menyeru orang ramai untuk mendapatkan rawatan jika mengalami penyakit seperti demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain, mengutamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit, mengelakkan daripada menyentuh dawai elektrik yang jatuh berdekatan air banjir.

Bagi mereka yang mempunyai luka-luka dan penyakit kulit ataupun yang mempunyai masalah kesihatan kronik, terutama sekali kencing manis seboleh-bolehnya untuk mengelakkan daripada terkena air banjir kerana air banjir yang kotor boleh menyebabkan jangkitan.

Walau bagaimanapun, jika mengalami kecederaan kecil yang terdedah kepada air banjir, dinasihatkan supaya memastikan luka-luka tersebut dibersihkan dan mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

Manakala itu, bagi pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit kronik, hendaklah memastikan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi dan jika kekurangan bekalan dinasihatkan untuk menghubungi pusat-pusat kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan bekalan ubat serta memastikan tidak ada takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Banjir yang berlaku akibat hujan lebat di salah sebuah masjid di Daerah Tutong malam semalam. – Gambar dari WhatsApp