Waspada semasa musim perayaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73 tahun, pihak polis ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga ke atas diri, keluarga dan harta benda mereka sepanjang musim perayaan ini.

Sehubungan itu, pihak polis telah berkongsi langkah-langkah keselamatan ketika hendak meninggalkan rumah seperti memastikan pintu dan tingkap sentiasa dikunci rapat, memasang selak pintu dan tingkap serta memasang alat penggera dan kamera litar tertutup (CCTV). Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa memastikan membawa bersama barangan berharga dan juga dokumen-dokumen penting serta menyimpan nombor-nombor penting seperti talian-talian kecemasan dan nombor jiran tetangga. Manakala bagi mereka yang meninggalkan kediaman dalam tempoh yang lama dinasihatkan agar memaklumkan kepada pihak polis dan jiran, jangan biarkan rumah dalam keadaan gelap dan jangan meninggalkan sebarang petunjuk rumah tidak berpenghuni kerana ianya boleh mengundang penjenayah.

Sementara itu, orang ramai yang berkunjung ke kawasan perayaan pula dinasihatkan agar tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan kerana ia boleh menarik perhatian bagi penjenayah untuk melakukan perkara yang tidak diingini seperti memecah cermin kereta dan mengambil barang tersebut. Dalam pada itu juga, pihak polis ingin memohon kerjasama orang ramai jika terdapat sebarang perkara-perkara yang mencurigakan berunsurkan jenayah supaya segera menghubungi pihak polis di talian kecemasan 993 atau datang ke balai-balai polis berhampiran untuk tindakan segera.