Waspada skim penipuan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap skim penipuan menggunakan telefon yang secara tidak jujur akan cuba untuk memperoleh maklumat peribadi dan perbankan mereka dengan niat untuk menipu yang akan menyebabkan kerugian kewangan.

Pada masa yang sama, BIBD juga menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali sama ada tempatan atau antarabangsa serta untuk tidak sekali-kali mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon atau platform media seperti e-mel, media sosial dan lain-lain.

Peringatan itu dibuat menerusi kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, di mana BIBD juga memaklumkan orang ramai bahawa pihak mereka tidak menggunakan mana-mana aplikasi pesanan atau platform pihak ketiga untuk menghubungi pelanggan-pelanggannya.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa mana-mana inisiatif yang memerlukan dan mendapatkan maklumat pelanggan untuk mengesahkan maklumat peribadi hanya akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui saluran rasmi pihak BIBD.

Orang ramai dan pelanggan boleh mengesahkan kesahihan sebarang panggilan dari BIBD dengan menghubungi Pusat Perhubungan BIBD melalui mobile chat dalam aplikasi BIBD NEXGEN Wallet atau melalui talian 2238181.

BIBD menasihati mana-mana pelanggan yang percaya bahawa mereka telah menerima panggilan palsu supaya melaporkan perkara tersebut kepada Pasukan Polis Diraja Brunei.