Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada skim penipuan pelaburan dalam Telegram

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Aktiviti penipuan pelaburan yang dipromosikan melalui aplikasi Telegram yang menawarkan peluang pelaburan tidak wujud, menjanjikan pulangan yang menarik dan bebas risiko dalam tempoh masa singkat semakin berleluasa pada masa kini.

    Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Pasukan Polis Diraja Brunei ingin memberi amaran kepada orang awam agar orang ramai tidak terpedaya dengan skim berkenaan.

    Menurut kenyataan, skim palsu ini akan meminta mangsa untuk membuat pembayaran wang pendahuluan dan pengeluaran ke akaun bank yang tidak dikenali.

    Penjenayah akan menggunakan pelbagai nama dan menyamar sebagai entiti bank atau syarikat pelaburan yang berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, dan laman web entiti yang sah untuk mempromosikan skim pelaburan ini. Kumpulan awam di Telegram juga diwujudkan untuk menarik pelabur dengan testimoni palsu dan dakwaan patuh Syariah.

    Pelabur yang berminat kemudian diarahkan untuk berurusan terus dengan individu yang meminta deposit ke dalam akaun peribadi. Penjenayah mendakwa entiti mereka dan skim pelaburan telah diluluskan oleh pihak berkuasa, sedangkan ini adalah tidak benar.

    Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran sebegini kerana biasanya pulangan pelaburan yang dijanjikan adalah tidak realistik dan tidak mampan.

    Mangsa sering didesak membuat keputusan segera kononnya tawaran itu sah untuk tempoh terhad, namun ini adalah taktik untuk menghalang penelitian lanjut.

    Adalah juga diingatkan bahawa mereka yang terlibat atau mempermudah penipuan ini, sama ada melalui peminjaman atau penyewaan akaun bank dan nombor telefon bagi tujuan tersebut, boleh dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan Seksyen 109 (Subahat), 120B (Pakatan Jahat Jenayah), 411 (Menerima harta curi secara tidak jujur), 419 (Menipu dengan menyamar), 420 (Menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan), dan 424 (Secara tidak jujur atau secara fraud memindah atau menyembunyikan harta) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 atau Seksyen 3(1) Pembersihan Wang Haram, Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 atau Seksyen 93(1) Mengambil Deposit Secara Tidak Sah, Banking Order 2006.

    Pasukan Polis Diraja Brunei menyeru sesiapa yang mengesyaki bahawa mereka telah dihubungi oleh entiti atau individu yang tidak sah, atau telah menerima tawaran pelaburan mencurigakan, untuk segera melaporkan kepada Bank Pusat Brunei Darussalam dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Sebarang pelaburan melalui aplikasi dalam talian seperti Telegram biasanya menjurus kepada penipuan. Masyarakat digalakkan untuk membuat penyelidikan mendalam dan mendapatkan nasihat kewangan yang sah sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPBD

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda