Waspada SMS dari ‘44777000111’

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan berhati-hati berhubung kegiatan penghantaran pesanan ringkas (SMS) yang dipercayai bertujuan untuk membuat satu penipuan yang sedang tular di negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PDB, di sini, hari ini, SMS berkenaan dihantar menggunakan nombor talian ‘44777000111’.

Dalam SMS itu, menyatakan nombor penerima SMS telah pun dianugerahkan sejumlah wang sebanyak 950,000 euro daripada ‘Pepsi Promotional Awards’.

Untuk mendapatkan wang tersebut si penerima diminta untuk menghantar satu e-mel kepada ‘award@pepclaims.com’.

Setakat ini, belum ada laporan kerugian yang dilaporkan kepada pihak PDB.

Pesanan berkenaan bertujuan untuk langkah pencegahan dan peringatan untuk orang awam supaya tidak menjadi mangsa penipuan SMS seperti ini.

PDB juga memohon bantuan institusi kewangan dan syarikat pengiriman wang untuk sentiasa memastikan pelanggan mereka sentiasa mengikut peraturan kewangan dalam penghantaran wang keluar negara.

Di samping itu, orang awam juga diingatkan supaya tidak menghantar wang kepada pihak yang tidak diketahui kerana ini akan mengelakkan orang awam daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.

Sekali lagi, PDB menasihatkan orang awam agar tidak membalas kepada SMS itu. Jangan memberikan sebarang maklumat peribadi dan perakaunan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenal pasti, terutama apabila menerima SMS sedemikian.