Waspada SMS palsu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada jika menerima teks pesanan ringkas (SMS) berunsur perjudian daripada nombor telefon yang tidak dikenali.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menjelaskan taktik penggunaan SMS bagi mengiklankan kegiatan perjudian itu bertujuan mempelawa penerima SMS untuk menyertai dan membuat taruhan wang serta menyarankan mereka melayari pautan (link) dan nombor yang telah disediakan.

PPDB bagaimanapun belum ada menerima laporan kerugian akibat SMS itu setakat ini, tetapi memberikan peringatan kepada orang ramai untuk mengamalkan langkah pencegahan dan mengingati mereka untuk tidak menjadi mangsa penipuan atau SMS scam seperti itu.

Pihak polis juga menyeru orang ramai agar tidak menyewakan talian telefon persendirian bagi tujuan perjudian atau kegiatan berunsur jenayah, tidak menyalahgunakan Internet atau mana-mana platform media sosial bagi kegiatan jenayah atau menyewakan dan memberikan akses akaun peribadi untuk tujuan jenayah.

PPDB juga menasihatkan orang ramai agar tidak membalas SMS tersebut dan tidak mendedahkan maklumat peribadi dan akaun kepada mana-mana pihak tidak dikenali, terutamanya daripada SMS sedemikian.

Tangkapan skrin dari telefon menunjukkan SMS berunsur perjudian daripada nombor tidak dikenali. – Gambar serahan PPDB