Waspada SMS ‘top up’ kredit

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) menasihatkan para pelanggan supaya berwaspada dengan pesanan teks ringkas (SMS) yang menawarkan ‘top-up’ kredit untuk perkhidmatan telefon bimbit.

Pelanggan perlu membeli nilai tambah kredit daripada saluran rasmi penyedia perkhidmatan telekomunikasi sahaja, AITI mengingatkan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Dalam kenyataan itu, AITI menasihatkan para pelanggan memaklumkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi sekiranya mereka menerima sebarang SMS yang mencurigakan.

Dengan memberikan butiran yang diterima melalui SMS tersebut kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi ia akan dapat membantu dalam menangani keadaan.

Selain itu, mereka juga perlu sentiasa berhati-hati apabila menerima SMS daripada nombor tempatan atau antarabangsa yang tidak dikenali dan tidak sekali-kali menekan klik pada pautan dalam pesanan yang mencurigakan dan untuk terus menyekat dan memadam nombor yang tidak diketahui dengan segera.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak sekali-kali memberi maklumat peribadi melalui telefon.

Jika telah memberikan butiran peribadi melalui SMS yang berkemungkinan satu penipuan, hubungi Pasukan Polis Diraja Brunei untuk membuat laporan rasmi.