Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AiTi) dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mengingatkan orang ramai untuk berwaspada terhadap panggilan mencurigakan yang menggunakan talian tempatan dan antarabangsa.
Panggilan tersebut yang dilakukan dengan niat menipu dan cuba memperoleh maklumat peribadi, boleh menyebabkan kerugian kepada mangsa yang terpedaya yang mana pemanggil menyamar sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang atau agensi kerajaan.
Pemanggil akan cuba menakut-nakutkan mangsa dengan menuduhnya terlibat dengan jenayah di luar negara dan seterusnya meminta wang untuk membersihkan namanya. Panggilan mencurigakan itu telah didapati menggunakan beberapa bahasa asing dan baru-baru ini telah menggunakan Bahasa Mandarin.
Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai bahawa panggilan yang diterima bukanlah daripada nombor yang tertera pada skrin. Pemanggil akan menggunakan teknik menipu untuk menyembunyikan nombor panggilan yang sebenar dan membolehkannya meletakkan sebarang nombor untuk memperdayakan orang ramai dengan menggunakan nombor tempatan.
Hal tersebut telah memberi kesukaran kepada pihak berkuasa untuk mengesan nombor sebenar panggilan. Bukan sahaja di negara ini, malah ia turut dihadapi oleh beberapa buah negara yang menghadapi cabaran yang sama.
Oleh itu, orang ramai digesa untuk mengabaikan panggilan yang tidak dikenali dan jangan mudah terpedaya dengan panggilan yang didakwa daripada agensi penguat kuasa undang-undang antarabangsa yang mencurigakan.
Orang ramai turut diingatkan untuk memutuskan panggilan dengan segera dan tidak menghubungi semula panggilan
yang diterima kerana ia mungkin panggilan spam dan tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi serta berkaitan dengan kewangan termasuklah tidak cuba melakukan sebarang transaksi kewangan kepada organisasi atau individu yang tidak dikenali di luar negara.
Pihak bank dan perkhidmatan pengiriman wang juga akan mengambil tindakan yang bersesuaian untuk menangani perkara ini, termasuklah meningkatkan kesedaran pelanggan dan menjalankan usaha-usaha yang sewajarnya apabila menjalankan urus niaga kewangan ke luar Negara.

































