Watak antagonis bawa tuah kepada Wafariena

Penangan watak Nurul Ain yang menjadi ‘perosak’ rumah tangga orang menerusi drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku 2 membawa rezeki berpanjangan kepada bakat baharu, Wafariena Roslan.

Biarpun usia pembabitannya masih hijau, pelakon dan penyanyi berusia 25 tahun itu sudah berjaya menembusi pencalonan bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33.

Gadis kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu berkata, dia sangat teruja sebaik menerima kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada kenalan yang memaklumkan pencalonan dalam anugerah berprestij itu.

“Saya menjerit keseronokan sebaik mendapat berita nama menembusi pencalonan ABPBH 33. Orang pertama yang saya cari adalah ibu dan keluarga untuk berkongsi berita gembira ini.

“Sejujurnya, saya memang meletakkan harapan tinggi dan mahu hasil yang positif daripada pencalonan ABPBH 33 ini. Sesiapa sahaja yang dicalonkan pasti mengharapkan kemenangan, begitu juga saya. Tetapi, saya tahu persaingan cukup sengit, apatah lagi saya perlu berdepan 19 calon artis lain,” katanya kepada media.

Penangan watak Nurul Ain dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 membawa rezeki berpanjangan kepada Wafariena Roslan. – Agensi

Namun, Wafariena berkata, mengalah bukanlah prinsip dirinya.

“Saya tak akan mengalah tanpa berjuang sejak dahulu lagi. Saya pernah beritahu keluarga mengenai impian menembusi mana-mana anugerah. Alhamdulillah, impian akhirnya dimakbulkan.

“Saya bersyukur, menembusi pencalonan awal pun saya sudah cukup menjadi permulaan yang baik dalam kerjaya saya,” katanya.

Wafariena tidak menolak impak watak Nurul Ain memberi kesan positif kepada kerjaya seninya. Katanya, dia menerima tawaran lakonan melimpah ruah selepas berjaya membuat penonton ‘menyampah’ dengan watak yang cuba mengganggu rumah tangga antara Khuzairi lakonan Shukri Yahaya dan Mia Adriana (Siti Saleha).

Penyanyi lagu Carilah Aku itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang strategi untuk membawa pulang trofi diidamkan, sebaliknya hanya menyerahkan kepada kelab peminatnya.

“Saya serahkan kepada pentadbir kelab peminat. Mereka sangat teruja ketika saya memaklumkan mengenai pencalonan ABPBH 33. Sebenarnya, saya lebih teruja kerana mengikuti perjalanan anugerah berprestij ini sejak dahulu lagi.

“Mereka gembira dan ikhlas bekerja keras untuk membantu saya tanpa mengharapkan imbuhan dan balasan. Saya bersyukur dapat mengenali ahli kelab peminat yang ikhlas ingin melihat kerjaya saya melonjak,” katanya.

Mengulas pembabitan dalam drama 7 Hari Mencintaiku 3, Wafariena berkata, dia masih menanti pengesahan pihak produksi sama ada watak Nurul Ain akan diteruskan atau sebaliknya.

Wafariena berkata, dia tidak berani memberikan sebarang komen kerana masih samar mengenai status berkenaan.

“Setakat ini, saya belum tahu kedudukan saya sama ada akan dipanggil atau tidak. Ada ura-ura cakap watak Nurul Ain akan dikembangkan, ada pula kata tidak ada. – Agensi