Watford sambung kontrak Foster

LONDON, 10 JUN – Ben Foster bersetuju menandatangani kontrak dua tahun di Watford, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam.

Bekas penjaga gol England itu akan terus kekal di Vicarage Road sehingga usia 39 tahun.
Foster membuat 150 penampilan sepanjang dua kali bersama skuad The Hornets, selepas kali pertama dipinjamkan oleh Manchester United pada tahun 2005.

Dia kemudian menghabiskan dua musim di Vicarage Road sebelum menyertai kelab Midlands Birmingham City dan West Bromwich Albion.

Susulan penyingkiran West Brom ke Liga Kejuaraan, Foster kembali untuk menyertai Watford pada Julai 2018 dan telah memulakan setiap perlawanan EPL untuk kelab sejak itu.

“Penjaga gol, Ben Foster bersetuju menandantangani perjanjian dua tahun bersama Watford FC.

“Pemain berusia 37 tahun itu membuat 150 penampilan sepanjang dua kali bersama kami,” kata Watford.

Foster yang mewakili England buat kali terakhir pada 2014, mengumpul sembilan perlawanan tanpa bolos musim ini.

Namun Watford sekadar menghuni tangga ke-17 liga dan terselamat daripada zon penyingkiran berdasarkan perbezaan jaringan. Sebaik liga bersambung, Watford akan melayan kunjungan Leicester pada 20 Jun ini. – AFP

Aksi Ben Foster ketika cuba menyelamatkan bola daripada masuk ke gawang dalam perlawanan yang lalu. Foster telah bersetuju menandatangani kontrak dua tahun di Watford. – AFP