Watford sertai kelab EPL lain

LONDON, 23 APRIL – Watford menjadi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) terkini yang bersetuju untuk menangguhkan gaji pemain kelmarin untuk membantu meringankan krisis ekonomi kerana pandemik koronavirus.

Southampton, West Ham dan Sheffield United telah bersetuju untuk penangguhan gaji, sementara pemain Arsenal akan mengambil pemotongan gaji sebanyak 12.5 peratus sehingga tahun hadapan.

EPL bimbang ia akan gagal menamatkan musim ini yang mengakibatkan kerugian kelab sebanyak 1 bilion pound.

“Ia menunjukkan perpaduan di mana kami tahu peminat kami dan komiti Watford yang meluas akan menghargainya, dan menunjukkan kesedaran keperluan setiap orang untuk bergabung dalam masa-masa yang sangat mencabar ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Scott Duxbury.

“Kami boleh berbangga dengan pemain kami yang mengambil langkah ini. Mereka mengetahui bahawa mereka mempunyai peranan dan tidak teragak-agak dalam mengambil keputusan demi kebaikan bersama kelab.”

The Hornet berada di kedudukan ke-17 di EPL, di luar zon penyingkiran dengan perbezaan gol apabila perlawanan digantung kerana krisis kesihatan awam. Jika musim ini diteruskan semula, Watford berisiko terperangkap dalam satu lagi masalah kewangan dengan penyingkiran divisyen.

“Tiada sesiapa, di mana sahaja mereka bekerja, menyukai idea pemotongan gaji, jadi terdapat sedikit kerisauan mengenai memahami bagaimana untuk mengadakan penanguhan pembayaran dalam tempoh yang singkat,”kata ketua kelab, Troy Deeney.

“Butiran mengenai apa yang kami persetujui adalah dirahsiakan – tetapi mereka berada dalam kepentingan terbaik untuk membantu kelab sekarang ini, tidak seorang pun perlu merasa ragu mengenainya.” – AFP