Wau Bulan ‘Terbangkan’ Shafie ke banyak negara

KOTA BHARU – Semasa remaja, Shafie Jusoh gemar bermain layang-layang atau wau bersama rakan-rakannya di Stadium Kota Bharu, kini dikenali sebagai Stadium Sultan Muhammad IV. Lazimnya permainan wau ini akan muncul ketika musim kemarau atau musim menuai padi dan ini adalah tradisi masyarakat di pantai timur.

Dalam banyak-banyak wau, Shafie memilih Wau Bulan dan reka bentuknya seakan bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada bahagian ekornya. Bagi remaja berusia 14 tahun ini, “bulan” adalah kemegahan alam ciptaan Tuhan.

Berbanding rakan-rakannya yang sekadar suka bermain layang-layang, Shafie pula mahu belajar cara membuatnya. “Pada mulanya saya berhasrat belajar membuat wau daripada bapa saudara saya tetapi beliau mahu saya menumpukan perhatian kepada persekolahan saya.

“Saya tak patah semangat. Ada seorang penduduk di kampung saya yang juga mahir membuat wau, jadi saya sering memerhatikan cara beliau membuat wau,”kata Shafie dalam wawancara dengan Bernama di Galeri Waunya di Kampung Badang, Kota Bharu.

Terkenal dalam dunia seni kraf

Shafie yang kini berusia 70 tahun sudah diiktiraf sebagai pakar dalam dunia seni kraf pembuatan wau dan permainan rakyat itu telah “menerbangkan” beliau ke banyak negara iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Maldives, Australia, China dan yang terbaru Turki (2016).

Shafie yang kini berusia 70 tahun sudah diiktiraf sebagai pakar dalam dunia seni kraf pembuatan wau dan permainan rakyat itu. – Bernama
Shafie yang kini berusia 70 tahun sudah diiktiraf sebagai pakar dalam dunia seni kraf pembuatan wau dan permainan rakyat itu. – Bernama
Shafie Jusoh, menunjukkan koleksi wau hasil buatannya di Kampung Badang, ketika ditemui Bernama baru baru ini. – Bernama
Shafie Jusoh, menunjukkan koleksi wau hasil buatannya di Kampung Badang, ketika ditemui Bernama baru baru ini. – Bernama

Beliau diundang ke negara berkenaan untuk membuat demontrasi pembuatan wau dan bagaimana untuk menerbangkannya. “Pembabitan saya serta minat mendalam dalam bidang pembuatan wau memberi saya peluang menjelajah ke banyak negara,” kata Shafie yang dinobat sebagai Adiguru Kraf oleh Kraftangan Malaysia pada 2006.

Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh kerajaan sebagai seorang tokoh setelah mereka menepati kriteria antaranya mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kraf yang diusahakannya.

Menurut Shafie yang pernah menjadi duta Penerbangan Malaysia (MAS), kemahiran beliau adalah dalam membuat perhiasan dan wau naik (wau yang diterbangkan) untuk pertandingan dan telah banyak meraih kemenangan sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Antara pertandingan yang pernah disertainya ialah Pasir Gudang Kite Festival International Guests anjuran Lembaga Pelabuhan Pasir Gudang dan peringkat negeri seperti Johan Wau Cantik dan Johan Wau Naik peringkat negeri Johor serta pertandingan anjuran Majlis Pelancongan Negeri Kelantan.

Kemahiran beliau adalah dalam membuat perhiasan dan wau naik (wau yang diterbangkan) untuk pertandingan dan telah banyak meraih kemenangan sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa. – Bernama
Kemahiran beliau adalah dalam membuat perhiasan dan wau naik (wau yang diterbangkan) untuk pertandingan dan telah banyak meraih kemenangan sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa. – Bernama

Wau Bulan hias lokasi tumpuan ramai

Wau Bulan yang dihasilkan Shafie banyak menghiasi tempat tumpuan ramai seperti hotel, pejabat, restoran dan pusat pelancongan. Namun apa yang menjadi kerisauan warga emas seperti Shafie ialah tidak ramai golongan muda yang berminat untuk bermain wau malah jauh sekali untuk menjadi pembuat permainan tradisional ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan dan badan bukan kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program bagi menyemarakan kembali permainan tradisional termasuk wau bagi mengisi masa lapang golongan muda. Dalam keluarga Shafie, hanya anak sulungnya daripada tiga adik beradik, Wan Anuar, 39, mewarisi bakat membuat wau.

Sementara itu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dalam satu kenyataan menyebut pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf kepada Shafie dilihat dan dinilai melalui pembabitan serta usaha beliau yang berjaya dalam penghasilan wau. Dengan penganugerahan itu, Shafie menerima hadiah wang saguhati RM5,000 serta elaun RM500 setiap bulan untuk tiga tahun.

Menurut kenyataan itu, setakat ini hanya terdapat tiga orang sahaja pembuat wau di Kelantan yang bergiat secara serius termasuk Shafie yang berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia manakala yang lainnya hanya menjadikan pembuatan wau sekadar hobi. – Bernama