Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Wau ‘naga’ perlu tenaga 15 lelaki untuk diterbangkan

    KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam bukan sahaja mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan satu wau berbentuk seperti naga, malah memerlukan bantuan seramai 15 lelaki dewasa untuk menerbangkannya di Dataran Jambatan Angkat di sini.

    Pembantu Operasi di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Syed Mizan Syed Ahmad, 40, berkata walaupun proses membuat wau sepanjang 80 meter itu mengambil masa yang lama dan agak sukar, ia memberi kepuasan apabila berjaya diterbangkan serta menarik perhatian orang ramai.

    “Kos membuat wau ini lebih RM1,500…saya bukanlah pakar, cuma ada sedikit kemahiran dan menonton proses membuatnya di YouTube, akhirnya wau naga ini berjaya siap dan dapat diterbangkan dengan sempurna,” katanya.

    Beliau ditemui Bernama pada pertunjukan wau naga miliknya sempena Karnival Usahawan Terengganu 2022 di Dataran Jambatan Angkat di sini, baru-baru ini.

    Menurut Syed Mizan, antara bahan utama yang diperlukan untuk membuat wau naga itu ialah gentian yang dibeli khas dari Indonesia, buluh dan kertas.  “Badan wau naga dihasilkan menggunakan gentian manakala kerangka kepala pula diperbuat daripada buluh…rekaan naga unik, menarik dan kelihatan ‘gagah’ apabila diterbangkan di udara,” katanya yang meminati permainan tradisional itu sejak kecil.

    Syed Mizan berkata untuk menerbangkan wau tersebut dengan sempurna, ia memerlukan bantuan ramai orang kerana jika tersalah kaedah, ia akan gagal terbang dengan baik.

    “Ini adalah wau naga kedua yang saya buat setelah kejayaan pertama menerbangkan wau naga pada Februari tahun lepas. Memang sangat mencabar untuk buat dan terbangkan wau ini, tapi saya tetap bersemangat untuk menghasilkannya,” katanya.

    Beliau berkata usahanya membuat wau naga itu diharap dapat mengangkat martabat permainan tradisional rakyat, walaupun ia dihasilkan dengan sedikit inovasi untuk menarik perhatian generasi muda.

    “Ramai golongan belia dari Kampung Raja Chendering dan Kampung Tok Dir di Marang yang semakin berminat dengan wau naga. Pembuatannya memerlukan ketekunan dan kesungguhan kerana sedikit kesilapan sahaja boleh mengganggu kelancarannya terbang di udara.

    “Walaupun bukan wau tradisional biasa, sekurang-kurangnya dapat menggalakkan belia melakukan aktiviti yang lebih bermanfaat bagi mengisi masa lapang,” katanya. – Bernama

    Bahan-bahan yang digunakan bagi penghasilan wau naga itu ialah gentian yang dibeli dari Indonesia, buluh dan kertas. – Bernama
    Komuniti penduduk dari Kampung Tok Dir dan Kampung Raja Chendering bekerjasama menerbangkan Wau Naga sepanjang 70 meter ketika tinjauan di Jambatan Angkat (Drawbridge). – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...