Wawa pernah minta cerai?

Kita selalu lihat betapa romantisnya pasangan selebriti Aeril Zafrel & Wawa Zainal ini.

Namun di sebalik kemanisan rumah tangga yang sering ditunjukkan kepada umum, ada kisah pahit yang mereka pernah lalui.

Aeril dan Wawa berkongsi pengalaman itu melalui sebuah video dari pakar motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad, di Instagram. Dalam video tersebut, Wawa mendedahkan dia pernah meminta cerai daripada suaminya. Namun tindakannya dianggap tidak wajar kerana ketika itu usianya masih muda dan masih belum matang.

“Pada waktu itu Wawa masih muda, kita sejenis belum matang maksudnya sikit-sikit gaduh, sikit-sikit benda yang kecil diperbesarkan, sikit-sikit tanpa berfikir panjang, ‘Eh aku tak nak kau dah, aku boleh hidup tanpa kau’. – katanya dalam video tersebut.

Pada masa itu, Wawa tak menyangka Aeril kemas barang dan keluar dari rumah.

“Masa saya balik rumah, saya sedar Aeril dah tiada dekat rumah. Bila dia dah hilang masa tu, dari pandangan mata Wawa, baru Wawa tahu yang Wawa tak boleh hidup tanpa Aeril. Dan pada masa itu, hidup Wawa berubah 360 darjah dan menjadi isteri yang baik untuk dia,” ujarnya.

Tambah Wawa lagi, dia bersyukur kerana perkahwinan mereka sehingga hari ini yang sudah mencecah sembilan tahun. Dia selalu menjadikan Aeril sebagai inspirasinya yang banyak bersabar dalam mengharungi ujian dalam rumah tangga.

“Saya belajar daripada sikap Aeril untuk menjadi seorang penyabar. Masa tu Aeril sangat sabar melayan Wawa,” katanya.

Wawa dan Aeril bernikah pada tahun 2013 dan kini dikurniakan tiga orang cahaya mata. – Agensi

Wawa mendedahkan dia pernah meminta cerai daripada suaminya, namun tindakannya dianggap tidak wajar kerana ketika itu usianya masih muda dan masih belum matang. – Agensi