KUALA LUMPUR – Kecintaan dan minat mendalam terhadap matematik mendorong Dr Hafizal Mohamad memilih menjadi saintis, namun Wawasan 2020 Malaysia merupakan faktor utama yang menjadikan siapa dirinya kini.
Semasa Wawasan 2020 diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad pada 1991, Hafizal hanya berusia 15 tahun tetapi beliau memahami bahawa satu daripada cabaran yang dapat menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi dan negara mampu diri pada 2020 adalah dengan melahirkan komuniti saintifik.
Itulah yang memberi ilham kepadanya dalam usaha menjadi saintis serta sebahagian daripada komuniti saintifik yang boleh menyumbang kepada negara.
Hafizal, 42, yang merupakan pegawai penyelidik kanan di MIMOS Bhd berkata, “Wawasan 2020 mengajar saya bahawa kita harus mampu mencipta teknologi, bukan sekadar menjadi pengguna. Kita tidak seharusnya bergantung kepada teknologi yang diimport dari luar Malaysia.
“Persoalan itu telah lama terpahat di fikiran saya namun, pada masa sama menjadi pendorong untuk saya berusaha melakukan sesuatu berkaitan perkara ini dan cuba menyumbang ke arah mewujudkan teknologi-teknologi baharu.”

Segala usaha dan dedikasi pakar dalam Internet of Things (IoT) bagi inovasi teknologi baharu nyata berbaloi apabila beliau memenangi anugerah Saintis dan Pakar Teknologi Cemerlang ASEAN di Myanmar pada 2017.
Pemeliharaan Tasik Chini
Satu daripada projek terbaharu yang beliau usahakan dengan penuh minat adalah di Tasik Chini, Pahang di mana penyelesaian IoT digunakan untuk memantau keadaan persekitaran tasik berkenaan.
Hafizal menganggapnya sebagai projek yang unik kerana ia bukan hanya berdasarkan aspek kewangan malah aspek alam sekitar yang tidak ternilai.
Tasik Chini ialah tasik air tawar semulajadi kedua terbesar di Malaysia yang meliputi kira-kira 202 hektar jasad air dan dikelilingi kawasan tanah lembap air tawar serta hutan paya. Kawasan itu kaya dengan kepelbagaian biologi tanah lembap serta sumber ekologi.
Kawasan di sekeliling tasik berkenaan menjadi tempat tinggal bagi kira-kira 80 keluarga etnik Orang Asli Jakun, yang kebanyakannya terlibat dalam kegiatan berasaskan hutan dan pertanian serta menggunakan tasik itu sebagai sumber makanan dan bekalan air.
Pembangunan tidak dirancang, perlombongan haram dan banjir monsun adalah antara beberapa bahaya yang memberi kesan negatif terhadap ekosistem tasik dan masyarakat Orang Asli di situ.
Setelah dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2009, tasik itu perlu dipelihara sebagai warisan penting Malaysia. Ekosistem dan zon penampannya perlu dilindungi selain hanya amalan pembangunan manusia dan ekonomi yang mampan ekologi sahaja boleh dibenarkan di kawasan itu.
MIMOS menjalinkan kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mencari penyelesaian berasaskan IoT untuk tasik itu. Pusat penyelidikan itu, yang terletak berhampiran dengan tasik berkenaan, dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penyelidikan, melakukan kerja lapangan, memupuk kesedaran alam sekitar dan menyebarkan maklumat mengenai pengurusan tasik bersepadu.
Untuk memelihara ekosistem semula jadi tasik itu, tujuh stesen IoT dibangunkan di sekitar Tasik Chini. Stesen-stesen berkenaan digunakan untuk mengukur kualiti air, perubahan iklim dan paras air, dengan mengumpulkan data mengikut jadual tertentu setiap jam.
Oleh kerana stesen-stesen itu terletak di sekitar tasik termasuk yang terletak di kawasan agak terpencil, sukar bagi mereka yang terlibat dalam projek itu untuk menggunakan bot bagi mengumpulkan data secara manual dari semua stesen tersebut.
Bagi mengatasi masalah itu, Hafizal berkata adalah penting untuk mempunyai sistem tanpa wayar kerana data yang dikumpulkan itu boleh dihantar dari stesen-stesen ke makmal pemantauan PPTC.

Strategi stem
Berhubung pengalaman kerjanya, Hafizal, yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan elektronik dan sudah bekerja selama 11 tahun di MIMOS, menganggap dirinya bertuah kerana sepanjang 21 tahun kerjayanya (sebelum menyertai MIMOS, beliau bekerja di fakulti kejuruteraan di sebuah universiti swasta selama 10 tahun), beliau memperoleh banyak pendedahan dan pengalaman dalam penyelidikan asas.
“Saya boleh memahami dan menghargai keseronokan serta cabaran penyelidikan selain kerja-kerja kejuruteraan di peringkat yang berbeza, daripada menghasilkan idea-idea baharu kepada pembangunan teknologi dan pengkomersilan,” katanya.
Diminta mengulas mengenai strategi STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) Malaysia, Hafizal berkata adanya ruang bagi peningkatan lebih meluas kerana nisbah pelajar aliran sains dan teknikal berbanding pelajar seni masih pada tahap membimbangkan dan berada di bawah nisbah 60:40 yang disasarkan.
“Sekiranya kita hanya menghitung pelajar aliran sains tulen, jumlahnya adalah lebih rendah. Sejak 1981, peratusan pelajar Tingkatan 5 aliran sains adalah kira-kira 20 hingga 35 peratus. Bilangan calon SPM aliran sains tulen pula kira-kira 134,000 orang (31 peratus) daripada 455,000 yang menduduki peperiksaan SPM pada 2014,” katanya.
Nombor STEM adalah lebih rendah di peringkat pengajian tinggi dengan pada 2017, hanya ada 96,978 (32 peratus) graduan STEM daripada 306,808 penuntut yang lulus tahun itu.
“Itulah anggaran tahunan bekalan bakat STEM dari universiti-universiti tempatan di Malaysia,” katanya.
Semasa menyatakan adanya ramai pihak berkepentingan yang terlibat dalam memacu kejayaan agenda STEM negara, Hafizal berkata mereka juga perlu melihat kepada sistem input, proses dan output.
“Input sepatutnya datang daripada para pelajar. Kita perlu memupuk minat mereka. Dengan kebanyakan masyarakat bandar sedar tentang perlunya STEM, masih banyak usaha perlu dilakukan di kawasan luar bandar di mana kebanyakan pelajar bergantung sepenuhnya kepada sekolah untuk mengetahui tentang STEM.
“Selain itu, golongan ibu bapa perlu diyakinkan bahawa STEM mempunyai masa depan yang cerah.
“Pelbagai proses dilakukan di peringkat sekolah dan universiti, sepertimana yang telah mereka lakukan. Banyak usaha dilakukan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan adanya kemudahan yang mencukupi, guru yang cekap, kurikulum yang menarik dan sebagainya.
“Akhir sekali, output STEM akan dapat dilihat dalam industri masa depan dan dalam bentuk penciptaan pekerjaan,” katanya.
Hafizal berkata STEM amat memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan dan industri bagi mewujudkan banyak peluang dengan memperkukuh inovasi dan kemahiran untuk negara. – Bernama