Wawasan Thomas Laudenbach terajui Porsche Motorsport

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Susulan pelantikan ketua Porsche Motorsport yang baharu, Thomas Laudenbach, satu sesi perbincangan meja bulat secara maya telah diadakan bersama para pengamal media antarabangsa, lewat petang kelmarin.

Thomas Laudenbach, 53, mula menduduki kerusi penting di Porsche Motorsport itu pada 1 Oktober lalu bagi menggantikan Fritz Enzinger, 65, yang telah memegang jawatan itu lebih kurang 10 tahun iaitu sejak 2011 dan telah membentuk era Porsche Motorsport menjadi sebuah pasukan yang cukup gemilang dengan meraih kemenangan serta gelaran juara.

Semasa sesi perbincangan meja bulat berkenaan, Thomas Laudenbach antara lain menerangkan mengenai tugas baharunya dan rancangannya dalam menerajui tampuk pimpinan Porsche Motorsport tersebut.

Bagi Thomas, ia merupakan satu cabaran yang hebat di mana beliau akan cuba berusaha untuk menyesuaikan sukan permotoran dengan keadaan yang berubah dalam industri automotif bermula daripada customer racing kepada penglibatan kilang dalam siri perlumbaan utama di seluruh dunia.

Di samping itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk meraih kemenangan ke-20 bagi Le Mans, serta berhasrat untuk memenangi kejuaraan dunia sama ada dalam perlumbaan endurance dan Formula E.

Beliau juga menyatakan kepentingan untuk terus membangunkan customer racing mereka, seterusnya menunjukkan minat terhadap kajian konsep Mission R.

Thomas Laudenbach semasa perbincangan maya bersama pengamal media antarabangsa.