Wayang, riadah kolam, seminar dan persidangan dibenarkan mulai 1 Julai

PUTRAJAYA, 22 JUN – Kerajaan hari ini membenarkan aktiviti menonton wayang, teater dan ‘live event’ mulai 1 Julai ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun Ismail berkata, aktiviti itu hanya dibenarkan di dewan tertutup dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, aktiviti itu tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.

“SOP yang ditetapkan terutamanya jarakan sosial perlu dipatuhi pada setiap masa,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Turut dibenarkan ialah aktiviti riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar, serta kolam renang persendirian.

Kaki pancing Neyamot Ullah, 40, menanti umpannya dimakan ikan ketika tinjauan Bernama di Kolam Pancing Wu Ping kelmarin. Peminat-peminat memancing kini dapat melakukan aktiviti memancing di kolam setelah operasi kolam memancing komersial dibenarkan beroperasi kembali pada PKPS mulai 10 Jun hingga 31 Ogos. – Bernama

Selain itu, mesyuarat turut memutuskan kebenaran penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan juga bermula 1 Julai.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, sebagai prasyarat, setiap lokasi kolam renang mestilah menyediakan ‘Life Guard’ dan pemantau, ataupun penyelia, bagi memastikan keselamatan pengguna serta jumlah dan masa penggunaan terkawal.

Katanya, jumlah pengguna dalam kolam renang juga perlu berdasarkan kapasiti dan keluasan kolam renang.

“Walaupun tiada larangan bagi kanak-kanak untuk menggunakan kolam renang kanak-kanak, namun ia tidak digalakkan.

Menurut Ismail Sabri selain dari kolam renang, aktiviti pelancongan air seperti di sungai, laut dan tasik, juga dibenarkan dengan mematuhi SOP. – Bernama