Wayback Burgers kembali

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Wayback Burgers kini kembali ke Brunei di bawah pengurusan baharu dan bertekad untuk memberikan kepuasan kepada seluruh penggemar burger istimewa tersebut di negara ini.

Sempena pembukaan semulanya, Wayback Burgers telah menganjurkan sesi mencuba makanan bagi para pengamal media tempatan dan beberapa perwakilan media tanah air di premisnya di Kiulap, kelmarin.

Sesi berkenaan bertujuan bagi memperkenalkan pelbagai jenis makanan dan minuman yang ditawarkan oleh Wayback Burgers.

Hadir bagi memberi penerangan mengenai menu yang ditawarkan kepada para pengamal media yang hadir ialah pelatih Wayback, Brian Corsetti yang diundang khas dari Amerika Syarikat bagi majlis pembukaan rasmi berkenaan.

Pada kesempatan tersebut, Brian Corsetti turut memberitahu bahawa sehingga ke hari ini Wayback telah mempunyai kira-kira 160 cawangan di Amerika Syarikat dan di 30 buah negara lainnya.

Di bawah pengurusan baharu, Wayback dicadangkan dibuka di banyak tempat dan lokasi bagi memberikan kemudahan kepada masyarakat dan penduduk di negara ini mencuba serta mendapatkannya.

Para pelanggan juga tidak perlu berasa ragu akan status kehalalan makanan yang disajikan di Wayback Burgers kerana segala bahan dan ramuan yang digunakan dalam penyajian produk serta menu di sana menggunakan bahan yang terjamin kehalalannya.

Brian Corsetti memperkenalkan menu yang ditawarkan Wayback Burgers.