SAN FRANCISCO, 7 Mac – Waymo, bekas divisyen kereta Goggle yang memajukan teknologi pemanduan sendiri, semalam berkata ia akan menjual inovasi kunci kepada syarikat-syarikat yang tidak bersaing dengan kereta autonominya.
Unit syarikat induk Google yang beribu pejabat di California, Alphabet akan menawarkan sensor lidar yang mengukur jarak dengan getar cahaya laser kepada syarikat-syarikat dalam robotik, keselamatan, teknologi pertanian dan sektor-sektor lain.
“Lidar-lidar biasa kami berperanan penting dalam menjadikan Waymo syarikat pertama di dunia untuk mengeluarkan kereta pandu sendiri sepenuhnya di jalan raya awam,” Waymo berkata dalam satu kenyataan.
“Kini kami menawarkan sensor-sensor ini kepada syarikat-syarikat di luar pemanduan sendiri. Supaya mereka boleh mencapai kejayaan teknologi mereka sendiri.”
Langkah itu boleh menawarkan hasil baharu bagi Waymo ketika ia melabur dalam membawa ‘teksi robot’ ke dalam pasaran, yang meluaskan kesediaan sensor lidar 3D yang telah dimajukannya sejak 2011.

“Dalam menawarkan lidar ini kepada rakan-rakan akan membantu mendorong pertumbuhan penggunaan di luar kereta pandu sendiri dan juga melonjakkan kemaraan perniagaan kami,” menurut kenyataan itu.
“Kami boleh mengaturkan teknologi autonomi kami lebih pantas, yang menjadikan setiap sensor lebih dimampui menerusi ekonomi skala.”
Syarikat ini menawarkan sensor ‘Laser Bear Honeycomb’ yang digunakan pada bampar kereta pandu sendiri dan mempunyai pemandangan lebih luas berbanding kebanyakan sensor yang bersaing, menurut Waymo.
Waymo berkata, “Apabila Honeycomb menghantar getaran cahaya, ia bukan saja melihat objek pertama disentuh pancaran laser.
Sebaliknya ia boleh melihat sehingga empat objek berlainan dalam barisan pandangan pancaran laser.
“Ini memberikan pemandangan luas persekitaran lebih terperinci dan mendedahkan objek yang mungkin terlepas.” – AFP

































