Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh rahmat dan berkat dan umat Islam digalakkan untuk mengadakan aktiviti keagamaan dan amal kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Sehubungan dengan itu, bagi mengambil keberkatan bulan suci ini, Majlis Perniagaan Wanita Brunei Darussalam (WBC) telah menghulurkan sumbangan kepada 20 orang pelajar yang kurang berkemampuan dari Daerah Brunei dan Muara serta tiga orang ibu tunggal.
Sumbangan berkenaan sebahagian daripada projek Infaq yang diadakan setiap tahun dalam bulan Ramadan anjuran WBC.
Sumbangan berupa barangan makanan untuk persiapan Hari Raya itu telah disampaikan oleh Presiden WBC, Datin Paduka Hajah Rokiah binti Haji Zakiah.
Projek Infaq bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan dan tahun ini seramai 20 orang pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan tiga orang ibu tunggal dipilih untuk menerima sumbangan berkenaan.