WCEM 2020 dianjur secara digital

KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Para pakar dari 25 negara akan berkumpul dan berkongsi pandangan masing-masing mengenai pentingnya latihan dalam memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) melalui Persidangan Dunia ke-4 mengenai Latihan Perubatan (WCEM) 2020 yang akan diadakan secara webinar buat pertama kalinya bermula Oktober hingga November ini.

Pengerusi penganjur Datuk Seri Jessy Lai berkata, persidangan itu, yang akan diadakan secara percuma, akan menyaksikan lima bengkel dan 44 sesi ucaptama yang akan membincangkan antara lain, topik mengenai latihan dalam penulisan preskripsi yang dapat mengurangkan kelaziman NCD.

“Seperti yang kita maklum, COVID-19 akan terus berlegar sehingga vaksin ditemui. Bagi mengelakkan risiko jangkitan, penting untuk menjalani gaya hidup yang sihat dan berolahraga dengan betul agar dapat meningkatkan imuniti dalam diri kita untuk melawan virus yang membawa maut seperti pandemik global COVID-19.” – Bernama